KUALA LUMPUR – Seramai 801 warga asing telah didakwa membabitkan 845 pertuduhan atas pelbagai kesalahan imigresen bagi tempoh Januari hingga 30 Jun lalu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata, kesalahan tinggal melebihi masa dibenarkan mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 556 pertuduhan.
Menurutnya, pihak juga mengutip kompaun sebanyak RM10.04 juta membabitkan pelbagai kesalahan setakat tahun ini.
“Tindakan penguatkuasaan akan dibuat secara berterusan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen.
“Ia termasuk majikan, pemilik premis dan individu yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya pada sidang media di Pejabat JIM Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Semua warga asing berstatus pendatang tanpa izin diseru supaya menyertai Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0 yang sedang berlangsung sehingga 31 Mei 2027.
“Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pelanggaran imigresen melalui saluran rasmi JIM,” katanya. – KOSMO! ONLINE







