PERANG di Gaza memasuki hari ke-1,000 pada Khamis lalu sejak pencerobohan Israel bermula pada 7 Oktober 2023.
Beberapa gencatan senjata telah dilaksanakan dalam sepanjang tempoh tersebut, namun angka korban akibat kekejaman rejim Zionis semakin meningkat.
Nasib yang menimpa di Gaza seakan-akan semakin dipinggirkan dan diabaikan, meskipun peperangan di wilayah itu menjadi pencetus kepada konflik berlarutan di Asia Barat sehingga membawa kepada perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran.
Tumpuan yang semakin berkurangan terhadap Gaza semakin ketara apabila wilayah tersebut ‘tersepit’ di tengah-tengah peristiwa yang mencetuskan konflik paling berbahaya di Asia Barat dalam beberapa dekad.
Walaupun ketegangan di Asia Barat semakin kritikal, namun usaha rakyat Malaysia dalam menunjukkan sokongan terhadap penduduk Palestin masih diteruskan.
Rata-rata rakyat Malaysia tidak kira berlainan kaum serta agama masih menunjukkan sokongan dengan memboikot produk atau mengelak membeli barangan yang didakwa berkaitan dengan AS dan Israel sebagai tanda solidariti terhadap keamanan.
Bukan itu sahaja, ada juga yang memilih untuk menggunakan jenama lain bagi menggantikan produk mereka.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan berkata, boikot masih relevan tetapi memberi impak minimum kepada AS dan Israel.
“Kita adalah pengguna yang kecil, jadi kesannya adalah begitu minimum sekali berbanding dengan boikot yang dilaksanakan oleh persatuan-persatuan yang lebih besar.
“Contohnya, Boikot Pelupusan dan Sekatan. Namun Malaysia, boikot secara bersendirian tidak memberi kesan yang begitu mendalam untuk mengubah apa yang berlaku di Gaza,” katanya.
Beliau menambah, selain daripada sokongan moral, antara sokongan lain yang penting dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin adalah dalam bentuk diplomatik atau diplomasi.
“Bukan sahaja dari Malaysia tetapi negara-negara lain juga. Dalam hal ini, perlu ada gabungan dan tekanan daripada seluruh dunia terhadap AS dan Israel.
“Lebih-lebih lagi AS yang memberi sokongan padu ke atas Israel. Oleh itu, pentingnya desakan daripada masyarakat antarabangsa,” tambah beliau.
Kebuluran dan kekurangan makanan telah pun berlaku di Gaza dan situasi ini diburukkan dengan ‘senjata’ atau taktik yang digunakan oleh rejim Zionis untuk ‘menghukum’ penduduk Palestin.
“Perkara itu memang telah dinyatakan oleh PBB. Apabila perjanjian gencata senjata memasuki fasa kedua, seharusnya Israel mengawal 53 peratus keluasan Gaza tetapi ia sudah mencapai 60 peratus.
“Konflik itu dikatakan sebagai salah satu sumber asas yang menyebabkan keamanan dunia tidak akan tercapai kerana banyak puak, pejuang yang menyokong Palestin seperti Houthi, Hamas, Hezbollah melakukan strategi perang mereka selagi isu Palestin tidak dapat diselesaikan.
“Di rantau Asia Barat sukar untuk mencapai keamanan kerana isu perang Gaza tidak dapat diselesaikan. Sekiranya keamanan dunia itu mahu dicapai, isu Palestin perlu diselesaikan,” jelas beliau lagi.
Konflik itu melampaui isu kemanusiaan, keagamaan, bangsa dan sehingga mencapai tahap genosid.
Tidak dinafikan bahawa tekanan dan desakan perlu diberikan secara berterusan kepada AS dan Israel.
Bagi rakyat Malaysia, kita perlu mempunyai kesedaran secara berterusan dan bukan hanya mengambil tindakan pada waktu atau peristiwa tertentu sahaja. -KOSMO! ONLINE















