fbpx
LUQMAN yang meminati inovasi juga aktif dalam kepimpinan dan kesukarelawanan.

Luqman cipta ‘car seat’ bayi pintar, cegah ibu bapa terlupa anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KECINTAAN dalam bidang inovasi dan kejuruteraan memberi nilai tambah kepada Rasyidin Muhammad Luqman Raja Salim, 21, yang kini menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sejak di sekolah menengah sehingga ke institusi pengajian tinggi, Rasyidin Muhammad Luqman atau lebih mesra disapa Luqman aktif menyertai pelbagai pertandingan inovasi sehingga memenangi pingat emas dan tempat pertama dalam penciptaan kerusi bayi pintar dan kreatif (smart and creative baby car seat).

Bercerita mengenai penciptaan produk tersebut, Luqman memberitahu, idea itu disuarakan oleh ibunya sendiri apabila melihat banyak berita mengenai bayi yang meninggal dunia di dalam kereta kerana ibu bapa terlupa membawa keluar anak mereka.

“Anak-anak yang ditinggalkan dalam kereta terlalu lama akan mengalami strok haba dan pelbagai komplikasi hingga menyebabkan mereka meninggal.

“Oleh itu, saya bersama pasukan mencipta produk pintar ini bagi mencegah ibu bapa daripada terlupa dan tertinggal anak mereka di dalam kenderaan.

“Kerusi bayi pintar ini bukan sahaja tidak perlu dibawa keluar, malah ia turut dilengkapi dengan sensor haba, aplikasi dan notifikasi bagi memberitahu pengguna jika anak mereka tertinggal di dalam kenderaan,” ujar anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu.

LUQMAN (depan, empat dari kanan) merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan di UPM.

Tambah Luqman, hasil inovasi tersebut sudah dipatenkan di bawah namanya bagi melindungi hak cipta dan dia turut merancang untuk mengembangkan kerusi bayi pintar itu pada masa akan datang.

Sementara itu, mengulas mengenai pengajian doktor perubatan yang sedang diambilnya ketika ini, Luqman memberitahu, bidang berkenaan pada awalnya bukan pilihan hatinya kerana dia lebih meminati kejuruteraan.

“Saya sekadar mahu mencuba mengikuti temu duga doktor perubatan dan mengisi pilihan itu di Unit Pusat Universiti (UPU), manakala sembilan lagi pilihan pengajian adalah kejuruteraan tetapi tidak menyangka berjaya terpilih mengikuti pengajian ini.

“Alhamdulillah, kini saya sudah berada di tahun kedua pengajian doktor perubatan dan minat itu semakin bercambah dalam bidang ini,” kongsi anak bongsu daripada empat beradik itu.

Selain cemerlang akademik, bakat Luqman dalam kepimpinan juga terserlah apabila diberi kepercayaan menggalas pelbagai tugas di Kelab Muslim Medical Team di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di UPM.

“Antara tanggungjawab besar yang dipikul adalah menjadi Pengarah Inspiration Forum: Medicine, Leadership & Nation Building 2026 (UPM). Ini merupakan salah satu forum terbesar yang dianjurkan oleh universiti ini.

“Forum ini dihadiri lebih 500 orang peserta dengan tetamu-tetamu istimewa seperti Pengerusi Institut Jantung Negara dan mantan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah; Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo; Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Sri Jailani Johari dan pemimpin-pemimpin universiti.

“Idea mengenai forum ini telah saya usulkan sejak di tahun pertama pengajian, alhamdulillah akhirnya saya berjaya merealisasikannya dengan kerjasama 40 orang ahli pasukan.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa semua pelajar mampu menganjurkan acara besar sebegini, asalkan ada kemahuan dan semangat tinggi,” ujarnya yang bercita-cita membuka hospital sendiri.

Dalam pada itu, sepanjang mengikut pengajian doktor perubatan, Luqman juga aktif dengan kerja-kerja kesukarelawanan termasuk di rumah penjagaan warga emas untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

Luqman juga merupakan salah seorang sukarelawan di Persekutuan Persatuan Muay Thai Antarabangsa yang aktif membantu doktor bertugas memberi rawatan kepada peserta Muay Thai yang cedera ketika kejohanan berkenaan berlangsung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN