DALAM era pendidikan digital yang semakin berkembang pesat, penggunaan teknologi canggih dalam proses pembelajaran menjadi semakin penting, khususnya dalam bidang sains kesihatan dan perubatan.
Memahami anatomi manusia terutama struktur kompleks seperti telinga, hidung dan tekak (otorinolaringologi) sering menjadi cabaran kepada pelajar kerana melibatkan bahagian organ yang rumit dan sukar divisualisasikan melalui kaedah pembelajaran konvensional.
Menyedari cabaran ini, satu perisian anatomi manusia dikenali sebagai Otolens telah dibangunkan hasil gabungan kerjasama antara pensyarah Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
Pakar Teknologi Maklumat dan Multimedia Uniten, Prof. Ts. Dr. Manjit Singh Sidhu berkata, perisian tersebut sebahagian daripada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) direka khas bagi membantu pelajar memahami anatomi telinga, hidung serta tekak secara lebih interaktif dan visual. Penggunaan teknologi realiti maya (virtual reality) atau VR merupakan salah satu komponen dalam TVET.
“Perisian inovatif ini menggunakan gabungan teknologi VR metaverse dan kecerdasan buatan (AI) untuk mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan efektif.
“Berbeza dengan pembelajaran tradisional yang banyak bergantung kepada buku teks, gambar rajah statik dan model fizikal, pelajar kini boleh meneroka struktur anatomi manusia dalam bentuk tiga dimensi (3D) secara lebih realistik.
“Melalui penggunaan teknologi realiti maya, pelajar dapat memasuki persekitaran simulasi digital yang membolehkan mereka lihat struktur telinga, hidung dan tekak dari pelbagai sudut secara terperinci,” katanya.

Jelasnya, pelajar perubatan boleh memerhatikan bahagian dalam telinga seperti gegendang telinga, koklea dan saluran auditori dengan lebih jelas.
“Mereka juga dapat memahami hubungan antara struktur organ dan fungsi fisiologi masing-masing dengan lebih mudah.
“Kaedah visual ini membantu meningkatkan pemahaman konsep yang sering dianggap sukar apabila dipelajari melalui ilustrasi dua dimensi,” katanya.
Tambah Manjit, integrasi teknologi metaverse juga membolehkan pelajar belajar dalam ruang maya kolaboratif.
Ujarnya, dalam persekitaran itu, pelajar dan pensyarah boleh berinteraksi secara langsung menggunakan avatar digital untuk menjalankan sesi pembelajaran, perbincangan dan demonstrasi anatomi secara masa nyata.
“Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih menarik, malah dapat meningkatkan penglibatan pelajar melalui pengalaman pembelajaran yang lebih imersif dan interaktif.
“Satu lagi kelebihan utama perisian ini ialah penggunaan AI yang mampu menyesuaikan pengalaman pembelajaran berdasarkan tahap kefahaman pelajar.
“Teknologi AI dapat mengenal pasti kelemahan pelajar terhadap topik tertentu dan mencadangkan kandungan tambahan, kuiz atau latihan yang sesuai,” katanya.
Menurut Manjit, kerjasama antara kedua-dua universiti dalam pembangunan perisian ini membuktikan komitmen institusi pengajian tinggi tempatan dalam memperkukuhkan pendidikan berasaskan teknologi digital.
“Inovasi sedemikian berpotensi mengubah landskap pembelajaran anatomi di Malaysia dengan menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih efektif, fleksibel dan mesra pengguna.
“Ia secara tidak langsung dapat mengurang kebergantungan kepada bahan pembelajaran tradisional yang kadangkala kurang mampu memberikan gambaran sebenar struktur organ manusia,” katanya.
Menariknya, Otolens telah memperoleh hak cipta dan sedang dilindungi melalui paten, sekali gus membuktikan keaslian inovasi dan nilai komersialnya dalam bidang pendidikan digital serta teknologi kesihatan.
Kejayaan inovasi ini turut terserlah apabila ia berjaya merangkul beberapa anugerah emas dan anugerah khas di pelbagai pameran inovasi serta penyelidikan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Pengiktirafan itu jelas mencerminkan kualiti, keunikan dan potensi besar inovasi tersebut.















