SUNGAI PETANI – Tindakan seorang lelaki meneruskan kegiatan jahatnya memecah masuk sebuah rumah di Taman Delima, di sini awal pagi tadi gagal apabila ditahan penduduk perumahan tersebut.
Suspek berusia 27 tahun ditahan kira-kira pukul 1.20 pagi ketika cuba melarikan diri selepas keluar dari rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki memaklumkan telah menahan seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya pada pukul 2.30 pagi tadi.
“Pengadu yang berumur 33 tahun dan masih bujang terjaga daripada tidur sebelum mendapati suspek sedang menggeledah bahagian dapur.
“Ketika bergelut dalam usaha menangkap suspek, pengadu telah digigit di lengan kanan dan suspek sempat melarikan diri keluar melalui tingkap di bahagian dapur rumah berkenaan,” katanya.
Menurut Hanyan, dalam masa sama kakak pengadu telah menjerit meminta tolong menyebabkan penduduk taman perumahan itu membantu mengejar suspek sebelum berjaya memberkasnya sejurus selepas itu.
“Siasatan awal mendapati suspek memasuki rumah itu melalui tingkap yang terbuka dan tidak berkunci namun gagal melarikan sebarang benda berharga dari rumah berkenaan.
“Semakan mendapati suspek yang berasal dari Kuala Ketil itu mempunyai sembilan rekod lampau membabitkan jenayah pecah rumah,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE.















