DUNGUN – Jenazah dua penunggang motosikal Yahama RXZ yang maut nahas di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Jabor, Kuantan, Pahang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbong, Paka di sini sebentar tadi.
Upacara pengebumian Che Mohd. Sufian Che Ghani, 40, dan Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, yang dikebumikan berdekatan di tanah perkuburan tersebut selesai sepenuhnya pada pukul 4.45 petang.
Seramai kira-kira 300 ahli keluarga, saudara-mara dan penduduk menghadiri upacara pengebumian tersebut.
Isteri Che Mohd. Sufian, Faridah Mat Asri, 39, da isteri, Muhammad Hafiz Al Hakim, Fatin Aqilah Mohd. Nasri, 31, kelihatan sebak sewaktu menyiram air mawar di pusara suami masing-masing.
Terdahulu kedua-dua jenazah Che Mohd. Sufian dan Muhammad Hafiz Al Hakim dibawa ke Masjid Hadhari, Paka di sini untuk disembahyangkan.
Mereka merupakan antara empat penunggang motosikal Yahama RXZ yang maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 246.4 LPT.
Terdahulu mereka dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menyertai aktiviti konvoi motosikal Yamaha RXZ ke sebuah restoran masakan kampung popular di Kuantan. – KOSMO! ONLINE















