fbpx
NUR AIMIELIA menunjukkan antara menu disukai ramai di Sureephorn Pulut Ayam Thai di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. – ISKANDAR ISHAK

Keaslian rasa Thai pulut ayam, nasi khaomok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA bercakap tentang makanan Thailand, tomyam pastinya menjadi hidangan pertama yang terlintas di fikiran. Manakan tidak, sajian ikonik itu sudah sekian lama sinonim sebagai masakan dari negara Gajah Putih dan cukup dekat dengan selera masyarakat tempatan.

Namun ironinya, Thailand mempunyai pelbagai hidangan lain yang turut popular di negara ini antaranya ialah nasi khaomok, pulut ayam dan mi sup daging Thai yang menampilkan rasa asli seperti dinikmati di negara itu.

Keaslian itulah yang menjadi kekuatan di Sureephorn Pulut Ayam Thai, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur sejak beroperasi sekitar tahun 2021. 

Menurut pengurusnya, Nur Aimielia Mat Yusoff, menu nasi pulut ayam Thai menjadi sajian paling popular dan dianggap sebagai ikonik di samping nasi khaomok ayam goreng yang turut menjadi antara pilihan utama pelanggan. 

Tampil dengan olahan berbeza, nasi khaomok ayam goreng dihasilkan menggunakan campuran rempah yang dikisar sendiri di kedai tanpa bergantung kepada pes atau produk siap diproses bagi menepati resipi asal.

“Kami tidak mempunyai dapur khas kerana semua hidangan akan dimasak di kedai untuk memastikan kesegaran agar  dapat dihidang terus kepada pelanggan. 

“Semua proses penyediaan dilakukan sendiri bagi memastikan rasa dan aroma rempah kekal segar serta menepati resipi asal,” katanya kepada CitaRasa.

NASI pulut ayam Thai menu signatur di restoran itu.

Bagaimanapun Nur Aimielia berkata, sebelum ini, bawang goreng disediakan sepenuhnya di dapur restoran dengan proses mengupas, menghiris dan menggoreng sendiri, namun disebabkan kekangan tenaga kerja, mereka kini menggunakan bawang goreng segera yang diimport terus dari Thailand bagi memastikan kualiti dan rasa asal masih dapat dikekalkan.

Jelas Nur Aimielia, nasi khaomok ayam gorengnya disajikan bersama ayam bahagian paha tanpa sup kerana sememangnya secara asli Thailand, ia tidak dihidangkan bersama sup.

Bergantung kepada permintaan harian, dianggarkan premis itu menggunakan antara 10 hingga 30 kilogram ayam yang dihidangkan bersama menu nasi pulut ayam Thai dan nasi khaomok ayam goreng. 

Selain nasi khaomok dan pulut ayam, hidangan mi sup daging Thai (Thai beef noodle) yang menggunakan rempah sup asli Thailand, bebola daging serta cili flakes yang diimport dari negara berkenaan menjadi antara yang mendapat perhatian di restoran itu. 

“Kami di sini menghidangkan makanan Thai asli seperti di negara itu sendiri dan bagi pelanggan yang sudah biasa dengan masakan Thailand pasti faham nasi khaomok ayam goreng memang tidak disajikan bersama sup. 

NASI khaomok dihidangkan bersama paha ayam.

“Rempah penyediaan Thai beef noodle iaitu mi sup daging Thai juga kami gunakan asli dari Thailand untuk memastikan keaslian rasa sebenar,” ujarnya. 

Selain hidangan utama, premis turut menyajikan pencuci mulut seperti pulut mangga dan aiskrim kelapa sebagai pelengkap pengalaman menikmati sajian autentik Thailand. 

Bagaimanapun pulut mangga hanya disediakan mengikut musim dan bergantung kepada bekalan demi memastikan kualiti makanan. 

Hal ini kerana kesukaran untuk mendapatkan buah mangga yang benar-benar manis setanding dari negara itu agak sukar dan memerlukan kos yang tinggi.

“Di sini kami hanya menyediakan minuman teh Thai dan teh hijau Thai sekali gus menjadi simbol kepada makanan Thailand.

“Apa yang pasti, kami di sini juga ingin membuktikan bahawa makanan Thailand bukan sekadar tomyam, sebaliknya kaya dengan pelbagai hidangan tradisional yang masih mampu memikat selera pencinta makanan,” katanya. 

Menarik mengenai nama premis iaitu Sureephorn bukanlah nama yang direka semata-mata, sebaliknya diambil daripada nama ibu pemilik asal yang merupakan warga Thailand sebelum diambil alih oleh individu lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN