RIO – Ketua Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti menegaskan bahawa pasukan itu sebenarnya layak memperoleh keputusan yang lebih baik walaupun tersingkir secara mengejut di Piala Dunia apabila tewas kepada Norway di pusingan 16 terbaik.
Menurutnya, kekalahan yang menyakitkan itu harus dijadikan pembakar semangat untuk Brazil memulakan era baharu, bukannya sebagai alasan untuk memecat beliau daripada jawatan pengendali pasukan itu.
Juara dunia lima kali itu tersingkir pada pusingan 16 terbaik selepas tewas 2-1 kepada Norway, sekali gus kekalahan itu merupakan penyingkiran paling awal Brazil di Piala Dunia sejak tahun 1990.
“Sudah tentu semua orang sangat kecewa dengan apa yang berlaku. Saya tidak fikir kami mengharungi Piala Dunia yang luar biasa, tetapi kami beraksi dengan baik. Malah, saya rasa kami sebenarnya layak memenangi perlawanan menentang Norway,” katanya.
Bintang Norway, Erling Haaland menjadi pemain pertama yang menjaringkan dua gol menentang Brazil dalam satu perlawanan Piala Dunia sejak Toni Kroos dan André Schürrle melakukannya ketika kemenangan bersejarah Jerman 7-1 ke atas Brazil pada separuh akhir Piala Dunia 2014.
Bagi Ancelotti, kekalahan itu bukan alasan untuk meninggalkan projek jangka panjang yang dimulakannya lebih setahun lalu.
“Anda perlu menerima kekalahan seperti ini. Ini merupakan satu pengembaraan baharu. Kini kami perlu terus membuktikan kemampuan, terus berusaha memperbaiki diri
“Saya tidak fikir ini adalah pengakhiran. Saya percaya inilah permulaan kepada satu kitaran baharu. Saya yakin dengan barisan pemain yang dimiliki, Brazil sebenarnya mampu bersaing hingga ke penghujung Piala Dunia ini, walaupun mengambil kira apa yang berlaku dalam perlawanan hari ini,” jelasnya yang memiliki kontrak sehingga Piala Dunia 2030.
Penantian Brazil untuk merangkul kejuaraan Piala Dunia buat kali keenam kini berlanjutan melebihi 28 tahun, selepas kali terakhir menjulang trofi itu di Jepun pada tahun 2002. – AGENSI















