JOHOR BAHRU – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selesai menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini.
Mohamed Khaled tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 1, Masai di sini kira-kira pukul 8.02 pagi bagi membuang undi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas.
Ahli Parlimen Kota Tinggi itu selesai mengundi kira-kira pukul 8.30 pagi.
Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berharap proses pengundian PRN Johor berjalan lancar sebelum rakyat membuat pilihan bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan berkeupayaan.
Beliau berkata, keputusan yang bakal diumumkan nanti perlu dihormati oleh semua pihak sebagai tanda kematangan demokrasi di negara ini.
Menurutnya, proses demokrasi yang diamalkan di Malaysia masih kekal relevan dan menjadi mekanisme terbaik dalam menentukan kerajaan yang diberi mandat mentadbir negeri.
“Saya berharap semuanya dapat berjalan dengan baik dan sempurna. Mudah-mudahan selepas selesai segala-galanya, kita dapat menyaksikan satu keputusan yang memungkinkan sebuah kerajaan negeri yang kuat, kukuh dan berkeupayaan diwujudkan hasil daripada keputusan rakyat.
“Saya percaya apa juga keputusan, semua pihak perlu menghormatinya dan memastikan proses demokrasi yang diamalkan negara ini terus relevan serta berkesan dalam menentukan kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Khaled berkata, kerajaan yang diberi mandat tidak seharusnya berlengah-lengah sebaliknya perlu segera meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Johor.
“Tidak ada masa untuk berlengah-lengah dalam usaha terus memajukan Johor dan memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.
DUN Permas menyaksikan perlawanan empat penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Baharudin Mohamed Taib; Perikatan Nasional (PN), T. Vela; Pakatan Harapan (PH), Sharon Teo dan Parti Bersama Malaysia (Bersama), Dr. Zamil Najwah.-KOSMO! ONLINE















