KUALA LANGAT – Tindakan dua lelaki warga Indonesia mengangkut kira-kira 10,000 liter diesel menggunakan sebuah bot tunda tanpa permit memakan diri apabila dicekup di perairan Kuala Langat, pagi tadi.
Kedua-dua suspek berusia 23 dan 44 tahun itu ditahan kira-kira 0.1 batu nautika dari muara Sungai Langat pada pukul 6.35 pagi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pemeriksaan awal mendapati dua lelaki itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja sah.
“Semakan lanjut juga mendapati mereka gagal mengemukakan perlindungan insurans wajib termasuk Limitation of Liability for Maritime Claims (LLMC) yang ditetapkan.
“Selain itu, pemeriksaan menemukan wang tunai RM5,000 dan kira-kira 10,000 liter diesel di dalam vesel berkenaan,” katanya petang ini.
Tambah Abdul Muhaimin, nakhoda bot itu juga gagal mengemukakan dokumen atau permit kebenaran mengangkut diesel sekali gus menimbulkan syak pemilikan barang kawalan berkenaan.
“Bot dan dua lelaki itu kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.















