PEMERHATI bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid berharap had umur calon untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat dikaji semula sebelum bertanding pada Kongres Pemilihan akan datang.
Menurut Ahmad Muzakkir, had umur mencecah 70 tahun yang ditetapkan dalam statut ketika ini sudah tidak relevan kerana sebahagian besar mereka sudah tidak dapat bekerja di bawah tekanan.
Ahmad Muzakkir berkata, mungkin had umur paling sesuai untuk dicadangkan menjadi Exco FAM bagi penggal akan datang selepas ini sekitar 60 tahun ke bawah.
“Had umur calon sehingga ke 70 tahun dilihat tidak releven kerana kebanyakan umur ini tidak dapat berfikir dengan baik selain tidak dapat berkerja di bawah tekanan, sehingga boleh membuat keputusan ikut emosi.
“Maka kita cadangkan had umur diturunkan kepada 60 tahun sahaja seperti mana amalàn persaraan kakitangan kerajaan,” katanya.

Selain had umur, semua calon diwajibkan mempunyai sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman aktif dalam arena bola sepak Malaysia sama ada bersama kelab, persatuan bola sepak negeri atau mana-mana organisasi yang berkaitan dengan sukan No. 1 negara itu.
Sementara itu, Ahmad Muzakkir turut berharap agar bekas Exco yang sudah memegang jawatan lebih dua penggal untuk tidak bertanding pada Kongres Pemilihan FAM nanti.
“Exco yang berkhidmat dua penggal (sebelum ini) juga kita mohon untuk tidak dapat bertanding kerana mereka sudah terpalit isu kegagalan FAM sehingga letak jawatan beramai-ramai. Satu kerugian jika orang sama berada di situ,” katanya.
CAPTION: FAM turut digesa untuk tidak menerima pencalonan mereka yang sudah berkhidmat dua penggal sebelum ini kerana dipalit kegagalan.






