fbpx
Suasana penuh meriah apabila hampir 3,000 peserta dari 30 negara memulakan kayuhan dalam OCBC Cycle Kuala Lumpur 2026 pada Abad lalu.

OCBC Cycle KL himpun 3,000 peserta dari 30 negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seramai 3,000 peserta dari Malaysia dan 29 negara menyertai OCBC Cycle Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung Ahad lalu.

Penganjuran edisi kesembilan itu mempertandingkan kategori utama sejauh 50 kilometer yang merangkumi dua pusingan laluan 25 kilometer, selain kategori 25 kilometer.

Peserta melalui beberapa mercu tanda ikonik di sekitar ibu negara termasuk Dataran Merdeka, Menara Berkembar Petronas, Tugu Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad serta ibu pejabat Menara OCBC, sekali gus menikmati pengalaman berbasikal di jalan raya yang ditutup khas kepada lalu lintas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, bandar yang terbaik bukan sekadar tempat untuk dilalui, sebaliknya lokasi yang ingin dikunjungi dan dinikmati oleh orang ramai.

“Melalui acara seperti OCBC Cycle KL, kami sedang membentuk Kuala Lumpur yang lebih sihat, lebih bertenaga dan lebih menyeronokkan untuk penduduk serta pelawat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank (Malaysia) Berhad, Tan Chor Sen berkata, pihaknya gembira dengan penyertaan memberangsangkan peserta tempatan dan antarabangsa pada edisi kali ini.

“Bandar bukan hanya ditentukan oleh infrastrukturnya, tetapi juga bagaimana orang ramai bergerak, berhubung dan menikmati pengalaman di dalamnya.

“Kami berbangga dapat menyediakan platform seperti OCBC Cycle KL yang menggalakkan gaya hidup aktif kepada semua peringkat umur, selain memberi peluang kepada peserta menikmati landskap bandar dan warisan negara.

“Dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 kini berlangsung, acara seperti ini amat bermakna dalam mengetengahkan pelbagai tarikan negara serta mengalu-alukan kehadiran pelawat dari seluruh dunia untuk menikmati yang terbaik di Malaysia,” katanya.

Antara tarikan baharu pada tahun ini ialah The KL Steadiest Rider Challenge yang menguji keseimbangan, kawalan dan ketepatan peserta menerusi laluan sejauh 10 hingga 50 meter tanpa meletakkan kaki ke tanah.

Kategori kegemaran ramai seperti The KL Mayor’s Ride membabitkan pasukan 10 peserta bagi kayuhan 50 kilometer serta kategori Kids’ Push Bike untuk kanak-kanak berusia tiga hingga sembilan tahun turut dipertandingkan.

Lebih 60 pemenang menerima pengiktirafan dalam semua kategori yang dipertandingkan termasuk perlumbaan 50 kilometer, The KL Mayor’s Ride dan Kids’ Push Bike.

Susulan kejayaan penganjuran di Kuala Lumpur, OCBC Cycle akan kembali ke Johor Bahru pada 11 Oktober depan bagi edisi kedua dengan menawarkan laluan sejauh 42 kilometer dan 21 kilometer untuk pelumba berpengalaman serta peserta rekreasi.

Peserta dijangka melalui beberapa lokasi ikonik termasuk Dataran Bandaraya Johor Bahru, Istana Besar Johor dan Masjid Sultan Abu Bakar menerusi laluan jalan raya yang ditutup khas kepada lalu lintas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN