BATU PAHAT – Sejak tiga tahun lalu, penduduk Senggarang tidak lagi dibelenggu masalah banjir setiap kali musim monsun timur laut selepas kerja-kerja pembersihan Sungai Senggarang dijalankan dengan bantuan kerajaan negeri.
Keadaan itu adalah sebahagian kejayaan dibawa penyandang dan calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Yusla Ismail selepas diangkat sebagai wakil rakyat bermula 2022.
Selain itu, pemasangan lampu di jalan utama di Senggarang serta pekan menjadi bukti kesungguhan dalam memastikan salah satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah Batu Pahat ini membangun seiring pembangunan di bandar.
Mohd. Yusla yang dipertaruhkan BN untuk mempertahankan kerusi dimenangi dengan majoriti 3,912 dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 sekali lagi akan memikul tanggungjawab untuk berhadapan dengan tentangan daripada calon Bersatu dan Pakatan Harapan pada PRN Johor ke 16, Sabtu ini.
Menurutnya, untuk penggal ini, beliau akan memberi tumpuan kepada isu rumah mampu milik sebagai keutamaan selain pembangunan menyeluruh melibatkan pelbagai peringkat umur, kaum dan agama di dalam kawasan N24 ini.
“Di kawasan Senggarang ini, kita juga telah mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ). Manifestasi ini perlu diteruskan memandangkan ramai golongan muda belum mengetahui prosedur permohonan termasuklah projek RMMJ yang kini telah dipermudahkan dengan permohonan secara dalam talian,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Mohd. Yusla, turut dirancang adalah menjadikan kawasan DUN ini sebagai tumpuan bagi sektor pelancongan sekali gus mampu membantu ekonomi penduduk sekitar berkembang.
Ujarnya, beberapa kawasan di sekitar Senggarang ini antaranya Pantai Minyak Beku, Pantai Sungai Lurus mempunyai keunikan tersendiri yang mampu menarik pelancong untuk beriadah bersama keluarga dan kawan-kawan.
“Senggarang akan lebih menjadi tumpuan apabila lapangan terbang milik Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) untuk pesawat kecil sebagai pusat latihan siap dibina pada penghujung 2027 dan beroperasi sepenuhnya tiga tahun kemudian.
“Untuk itu, pada 11 Julai nanti diharapkan agar semua pengundi di DUN Senggarang ini terus memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional agar pelbagai pembangunan dapat dibawa untuk manfaat bersama termasuk anak-anak pewaris bangsa,” katanya.














