KUALA PERLIS – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran kerajaan negeri.
Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat susulan komitmen tugasnya sebagai Menteri Besar yang memerlukan perhatian penuh terutama dengan baki kira-kira setahun sebelum tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya telah meletakkan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu namun masih kekal sebagai ahli parti.
“Tidak timbul isu peletakan jawatan ini dikaitkan dengan jawatan Menteri Besar kerana saya hanya mahu memberikan komitmen sepenuhnya kepada pentadbiran negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, beliau juga masih memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis.
Katanya, surat peletakan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu telah dihantar kepada ibu pejabat parti pada minggu lalu.
“Keputusan itu dibuat secara baik hasil perbincangan bersama kepimpinan tanpa sebarang tekanan atau perselisihan,” ujarnya.
Pada masa sama, Abu Bakar menafikan peletakan jawatan itu mempunyai kaitan dengan kemelut politik atau petanda akan berlaku perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus berfungsi seperti biasa selaras dengan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail supaya pentadbiran diteruskan sehingga tamat penggal DUN.
Abu Bakar turut menepis spekulasi kononnya beliau bakal menyertai parti lain dengan menegaskan dakwaan itu tidak berasas.- KOSMO! ONLINE














