SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan 5,808 liter minyak diesel tanpa kebenaran di sebuah stor di Butterworth, April lalu.
Tertuduh, Nai Thet Naung, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Myanmar di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Berdasarkan pertuduhan, dia didapati menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel berjumlah 5,808 liter di sebuah stor tidak bernombor bersebelahan Lot 2970A, Mukim 16, Lorong Perusahaan Sungai Lokan, Butterworth pada pukul 4.30 petang, 15 April lalu.
Siasatan mendapati penyimpanan bahan api itu dilakukan tanpa mendapat kebenaran daripada Pengawal Bekalan sebagaimana diperuntukkan di bawah undang-undang, dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeya Darrsini bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Hilmi Abu Hassan.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjarakan selama enam bulan bermula dari tarikh tangkap, selain semua barang kes dilucuthakkan kepada kerajaan. – KOSMO! ONLINE














