KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjangkakan proses pengambilan tanah bagi menyelesaikan isu laluan di Jalan Datuk Senu dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hingga empat bulan sekiranya tiada bantahan terhadap kadar pampasan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mat Ujud berkata, proses pengambilan tanah itu telah dimulakan sejak awal Februari selepas didapati laluan berkenaan berada di tanah milik persendirian.
“Proses permohonan telah kita kemukakan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (KPTG). Pengambilan tanah ini akan dilaksanakan oleh kerajaan dan kini berada dalam proses mendapatkan kelulusan sebelum diwartakan serta pembayaran dibuat,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Downtown Kuala Lumpur Grants Programme 2026 di Odeon Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Hannah, tempoh penyelesaian bergantung kepada kelulusan serta persetujuan pemilik tanah terhadap kadar pampasan yang ditentukan Jabatan Penilaian.
Beliau turut meminta pemilik tanah bersabar kerana proses pengambilan telah pun berjalan dan bukannya tergendala.
“Selama ini laluan itu memang telah digunakan. Jadi saya harap pemilik tanah dapat memberi sedikit masa kerana proses sedang diuruskan dengan segera,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan penduduk Taman Datuk Senu, Sentul menzahirkan kebimbangan terhadap cadangan penutupan laluan utama yang telah menjadi nadi pergerakan harian mereka sejak lebih tiga dekad lalu.
Pengerusi Persatuan Kemajuan Masyarakat dan Penduduk Taman Datuk Senu, Mohd Hasnizul Mohd Hassan berkata, laluan berkenaan bukan sahaja digunakan oleh penduduk taman itu, malah turut menjadi akses utama bagi beberapa kawasan perumahan berhampiran sejak ia dibuka lebih 30 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














