TANJUNG MALIM – Ribuan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mendapat manfaat pek makanan dan minuman percuma menerusi Program Dapur Kasih Bitara yang diadakan secara berkala.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, program tersebut bukan sekadar menyediakan makanan dan minuman kepada pelajar tetapi menjadi platform memperkukuh budaya kesukarelawanan dan jaringan kerjasama universiti dengan pelbagai pihak.
“Sejak diperkenalkan Program Dapur Kasih Bitara telah memberi manfaat kepada ribuan pelajar universiti, malah berkembang sebagai antara program kebajikan berimpak tinggi.
“Ia banyak membantu meringankan kos sara hidup mahasiswa melalui pendekatan kolaborasi bersama agensi kerajaan, yayasan, badan korporat, alumni dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














