fbpx
KERUSI yang ditawarkan bersifat ergonomik dan sesuai untuk tujuan permainan game dan bekerja.

Kerusi ergonomik Todak × Physiogo tambah baik standard e-sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Industri e-sukan dan gaya hidup digital di Malaysia terus berkembang pesat seiring dengan perubahan cara kerja dan gaya hidup generasi muda yang semakin bergantung kepada peranti digital.

Dalam perkembangan terbaharu, jenama gaya hidup, Todak bersama Physiogo tampil memperkenalkan koleksi kerusi ergonomik Todak × Physiogo melalui pelancaran rasmi yang membawa tema ‘Health Meets Performance’.

Untuk makluman, Physiogo merupakan penyedia perkhidmatan fisioterapi dan rehabilitasi di Malaysia yang memberi fokus kepada pemulihan, mobiliti dan kesihatan fizikal melalui rawatan profesional.

Pelancaran kerusi itu yang berlangsung di Bangi, Selangor pada 20 Jun lalu bukan sekadar memperkenalkan produk baharu ke pasaran, sebaliknya menandakan satu pendekatan baharu dalam industri e-sukan dan ergonomik di Malaysia.

Koleksi itu menggabungkan elemen prestasi esports, produktiviti profesional serta kepakaran fisioterapi dalam satu penyelesaian tempat duduk yang lebih menyeluruh.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Todak Culture Sdn Bhd, Ir. Ts. Nurul Hakimi Haque, pelancaran itu membawa satu makna yang lebih besar daripada sekadar produk baharu.

“Dengan koleksi ini, kami bukan sekadar memperkenalkan kerusi baharu, sebaliknya kami memperkenalkan satu standard baharu bagi tempat duduk ergonomik di Malaysia.

“Gabungan pengalaman kami dalam esports dan kepakaran fisioterapi Physiogo membolehkan kami menghasilkan kerusi yang dinilai secara profesional, direka bukan sahaja untuk prestasi dan keselesaan, tetapi juga untuk kesihatan postur pengguna dalam jangka masa panjang,” ujarnya.

Todak × Physiogo memperkenalkan empat model kerusi ergonomik, terdiri daripada satu model kerusi gaming dan tiga model kerusi pejabat.

Todak dan Physiogo mencatat sejarah sebagai kolaborasi pertama seumpamanya di Malaysia antara organisasi e-sukan dan penyedia perkhidmatan fisioterapi.

Kesemua model itu telah melalui proses penilaian ergonomik profesional serta menerima pengiktirafan daripada pakar fisioterapi Physiogo sebelum diperkenalkan kepada umum.

Malah, ia menjadikan koleksi tersebut antara yang pertama di Malaysia yang dinilai secara profesional daripada sudut kesihatan sebelum memasuki pasaran.

Proses pembangunan produk ini mengambil masa enam bulan, termasuk penilaian, ujian serta validasi oleh Physiogo sejak Disember 2025.

Tempoh tersebut menunjukkan bahawa setiap model tidak dihasilkan secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui proses penelitian bagi memastikan memenuhi aspek keselesaan, prestasi serta kesihatan pengguna.

Koleksi itu juga dibangunkan untuk pelbagai kumpulan pengguna termasuk pemain e-sukan, golongan pekerja profesional, pelajar, pencipta kandungan, organisasi serta pelanggan korporat.

Dalam dunia kerja dan hiburan moden yang banyak melibatkan penggunaan komputer dalam tempoh lama, aspek kesihatan postur dan keselesaan menjadi semakin penting.

Setiap kerusi direka bagi menyokong postur badan yang betul, meningkatkan keselesaan serta membantu produktiviti dan prestasi dalam jangka masa panjang.

Selain itu, ia turut sesuai digunakan dalam pelbagai persekitaran termasuk rumah, pejabat, tujuan gaming serta kerja hibrid.

Berbeza dengan kebanyakan kerusi ergonomik di pasaran yang lebih menumpukan kepada aspek keselesaan dan reka bentuk semata-mata, koleksi Todak × Physiogo dibangunkan dengan gabungan antara prestasi pengguna dan kesihatan.

Pendekatan ini memberikan nilai tambah kepada pengguna yang kini semakin peka terhadap kesan jangka panjang gaya hidup duduk dalam tempoh lama.

Pelancaran ini turut mencatat sejarah sebagai kolaborasi pertama seumpamanya di Malaysia antara sebuah organisasi e-sukan dan penyedia perkhidmatan fisioterapi dalam pembangunan kerusi ergonomik.

Kerjasama ini memperlihatkan bagaimana industri esports mula berkembang melangkaui sempadan permainan semata-mata dan mula memasuki ruang kesihatan serta kesejahteraan.

Pelancaran kerusi ergonomik itu menggambarkan aspirasi Todak untuk menetapkan standard baharu dalam segmen ergonomik tempatan, khususnya apabila industri esports semakin berkembang dan memerlukan sokongan produk yang lebih khusus kepada keperluan pengguna.

Pelancaran itu turut mengukuhkan kedudukan Todak sebagai jenama esports dan gaya hidup Malaysia yang semakin berkembang, dengan penglibatan dalam pelbagai bidang termasuk produk gaya hidup, teknologi, pendidikan, penciptaan kandungan serta penyelesaian ergonomik.

Evolusi ini menunjukkan peralihan Todak daripada sebuah organisasi esports kepada jenama gaya hidup yang lebih luas dan pelbagai.

Sementara itu, Physiogo sebagai penyedia perkhidmatan fisioterapi dan rehabilitasi memainkan peranan penting dalam memastikan setiap model kerusi dinilai berdasarkan aspek kesihatan dan kesejahteraan pengguna.

Dengan rangkaian 11 pusat fisioterapi di seluruh negara, Physiogo komited untuk meningkatkan kesihatan, mobiliti dan kualiti hidup masyarakat melalui pendekatan profesional.

Majlis pelancaran yang berlangsung bersempena pembukaan rasmi Physiogo Mega Centre itu turut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam mempromosikan gaya hidup lebih sihat, produktif dan selesa.

Kerjasama ini juga dilihat sebagai satu langkah ke hadapan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan postur dan ergonomik dalam kehidupan seharian.

Secara keseluruhan, koleksi Todak × Physiogo bukan sahaja memperkenalkan satu rangkaian kerusi ergonomik baharu, tetapi turut membuka perbincangan lebih luas mengenai hubungan antara kesihatan dan prestasi dalam dunia digital.

Dalam era penggunaan skrin menjadi sebahagian besar kehidupan harian, pendekatan seperti ini dilihat semakin relevan untuk memastikan kesejahteraan pengguna dalam jangka panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN