KUALA LUMPUR – Proses perolehan penggantian sistem peluru berpandu anti-kapal pengganti Naval Strike Missile (NSM) bagi Kapal Tempur Pesisir (LCS) dijangka mengambil masa dua tahun.
Ini kerana kata Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, beberapa proses penilaian dan kesesuaian sistem sedia perlu dilakukan terlebih dahulu supaya ia dapat dimitigasikan dengan keperluan LCS.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini empat negara iaitu Perancis, Turkiye, Itali dan Korea Selatan sudah dikenal pasti oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menggantikan sistem NSM yang telah dibatalkan Norway sebelum ini.
“Paling cepat pun dalam masa dua hingga tiga tahun lagi (dapat sistem penggantian NSM untuk LCS). Sebab ia (perolehan) baharu, kita kena tengok semua aspek dahulu termasuk bajet.
“Kita perlu proses semula dari awal (untuk dapat sistem yang sesuai) daripada sistem yang sedia ada sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar semasa Majlis Pelancaran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027 di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada LCS boleh beroperasi tanpa sistem NSM tersebut, Malek Razak berkata, kapal tersebut mempunyai pelbagai fungsi dan tugas sebelun sistem baharu dipasang.
“Tiada masalah, LCS tetap akan boleh beroperasi walaupun sistem persenjataan anti kapal belum siap sepenuhnya sebab kapal ini mempunyai pelbagai fungsi serta tugas-tugas lain.
“Lagipun dia ada (LCS) ada senjata lain yang boleh digunakan. Jadi dia tetap boleh buat rondaan, cuma kapal itu akan beroperasi bukan dalam ‘full operation’ (fungsi penuh) ,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa sidang akhbar di Parlimen semalam memberitahu penilaian teknikal bagi memilih sistem peluru berpandu sebagai pengganti NSM untuk LCS akan diselesaikan pada akhir bulan ini.
Mohamed Khaled Nordin, berkata TLDM dan kementeriannya sedang menjalankan penilaian terhadap beberapa sistem peluru berpandu surface-to-surface daripada pengeluar peralatan asal (OEM) oleh negara berpotensi bagi menggantikan sistem NSM, yang dibatalkan lesen eksportnya oleh Norway.
Beliau berkata, tawaran serta cadangan daripada syarikat-syarikat berkenaan akan dinilai secara komprehensif berdasarkan keperluan operasi TLDM. – KOSMO! ONLINE














