KUALA TERENGGANU – Padah memperdagangkan seorang wanita bagi tujuan eksploitasi seks pada dua tahun lalu, seorang guru dan rakannya dijatuhi hukuman penjara lapan tahun serta denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu terhadap kedua-dua tertuduh, Mohd. Hasfyanizam Mansor, 50, yang merupakan guru dan buruh, Mohamad Fazley Jaafar, 31, selepas pihak pembelaan didakwa gagal menyangkal kes prima facie dikemukakan pihak pendakwaan.
“Mahkamah berharap hukuman ini dapat memberi keinsafan kepada kedua-dua tertuduh dan menjadi pengajaran kepada orang lain,” katanya ketika membacakan penghakimannya di sini hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa memperdagangkan seorang wanita warga tempatan yang ketika itu berusia 29 tahun bagi tujuan eksploitasi seks dengan menyalahgunakan kedudukan mangsa yang mudah terdedah kepada perbuatan pemerdagangan orang.
Perbuatan tersebut itu didakwa dilakukan Mohd. Hasfyanizam dan Mohamad Fazley di sebuah kondominium di Jalan Sultan Omar di sini pada pukul 2.35 pagi, 11 Mac 2024.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Kosmo! Online 21 Mac 2024 melaporkan dua lelaki termasuk seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di simi atas pertuduhan memperdagangkan wanita bagi tujuan seks. – KOSMO! ONLINE














