fbpx
Anwar di Dewan Rakyat hari ini. Foto JAPEN

Tindakan ke atas media bukan bermotif politik – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan yang diambil terhadap beberapa organisasi media bukan bermotif politik atau bertujuan menyekat kebebasan media, sebaliknya melibatkan kandungan berkaitan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) serta keselamatan negara.

Menurut beliau, tindakan terhadap Sin Chew Daily berhubung penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang dan Sinar Harian berkaitan biografi Ketua Polis Negara antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2026.

“Umpamanya, tindakan terhadap Sin Chew itu dianggap besar di dunia media kerana dilihat sebagai pelanggaran aspek kebebasan media. Tetapi bagi kita, soal bendera negara adalah perkara yang serius.

“Apabila tindakan diambil terhadap media rasmi, ia terus memberi kesan kepada indeks kebebasan media,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung faktor kejatuhan kedudukan Malaysia daripada tangga 88 kepada 95 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2026.

Anwar berkata, kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap kandungan yang hanya mengandungi kritikan politik atau fakta tidak tepat, sebaliknya lebih mengutamakan memberi penjelasan kepada masyarakat termasuk di Parlimen.

Pada masa sama, katanya, kerajaan telah menambah baik kerangka perundangan negara menerusi pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memastikan kenyataan berbentuk sindiran terhadap Perdana Menteri atau pemimpin tidak lagi dikategorikan sebagai kesalahan jenayah.

Mengulas penilaian indeks berkenaan, beliau berkata, Reporters Without Borders (RSF) turut mengambil kira faktor politik, perundangan, ekonomi, sosiobudaya dan keselamatan.

“Pemadaman kandungan di media sosial juga tidak semestinya berlaku atas arahan kerajaan kerana ia bergantung kepada dasar platform terbabit.

“Malah kandungan saya sendiri mengenai Hamas pernah dipadamkan walaupun kerajaan tidak bersetuju dengan tindakan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN