fbpx
GTA telah menjalin kerjasama strategik dengan Safran Helicopter sejak 15 tahun lalu.

GTA, Safran Helicopter perluas kerjasama untuk perkukuh keupayaan dalam industri aeroangkasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Global Turbine Asia Sdn Bhd. (GTA) telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Safran Helicopter Engines Asia (Safran Helicopter) bagi  mewujudkan rangka kerja untuk mengembangkan kerjasama jangka panjang mereka di luar Malaysia ke Brunei Darussalam.

Sebelum ini, GTA  telah berkhidmat sebagai Pusat Penyelenggaraan Bertauliah (CMC) untuk Enjin Helikopter Safran di Malaysia sejak 15 tahun lalu dengan  menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan sokongan sambil menyumbang kepada pembangunan keupayaan aeroangkasa tempatan.

Berdasarkan perkongsian yang berjaya ini, MoU ini mencerminkan hasrat bersama kedua-dua pihak untuk melanjutkan kerjasama mereka bagi menyokong peluang masa depan di Brunei Darussalam, tertakluk kepada pemenuhan syarat yang dipersetujui dan pelaksanaan perjanjian muktamad.

Pengerusi Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Mohd. Radzi berkata, MoU ini mewakili satu lagi peristiwa penting dalam perjalanan pertumbuhan syarikat selama lebih 15 tahun.

“Dalam tempoh tersebut,  kami telah membina perkongsian yang kukuh dan dipercayai dengan Safran Helicopter di Malaysia.

“Hari ini, kami berbangga untuk mengambil langkah seterusnya dengan mengembangkan kerjasama  di luar pasaran tempatan dan ini mencerminkan cita-cita GTA untuk menjadi perniagaan sokongan penerbangan khusus dengan keupayaan teknikal yang kukuh, sambil terus memberikan standard sokongan serta perkhidmatan tertinggi kepada pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.

Nonee menerangkan, kerjasama itu juga mewakili satu peristiwa penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang GTA untuk mengembangkan jejak serantaunya secara progresif di luar Malaysia.

Ini juga akan  memperkukuh keupayaan syarikat untuk menyokong pelanggan di seluruh Asia Tenggara melalui perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih aeroangkasa.

Selain itu, beliau menerangkan, MoU ini akan dapat mengukuhkan lagi hubungan strategik antara GTA dan Safran Helicopter bagi mencerminkan keyakinan bersama yang terjalin selama lebih sedekad kerjasama yang berjaya.

Ia juga menunjukkan komitmen kedua-dua pihak untuk meneroka peluang baharu untuk kerjasama serantau sambil menyokong pembangunan keupayaan aeroangkasa yang mampan di rantau ini.

Tambah beliau, MoU ini bakal mewujudkan rangka kerja untuk memajukan kelayakan, kelulusan dan proses kontrak yang diperlukan bagi menyokong cadangan pengembangan aktiviti pengedaran dan sokongan pelanggan GTA yang dibenarkan ke Brunei Darussalam.

Sebarang aktiviti pada masa hadapan tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat yang dipersetujui dan pelaksanaan perjanjian muktamad. -KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN