PETALING JAYA – Seorang wanita yang mengakui dirinya sebagai ibu saudara kepada pelajar perempuan yang ditikam di sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor hari ini menegaskan bahawa mangsa bukanlah seorang pembuli.
Ini selepas tular dakwaan beberapa pihak yang mengaitkan mangsa sebagai antara pelajar yang terlibat dalam kes buli terhadap suspek sehingga menjadi sasaran di sekolah.
Menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna @syafuraadila, wanita itu menjelaskan anak saudaranya bukan seorang pembuli dan tidak mengenali individu yang menikamnya.
“Saya di hospital, saya nak buat kenyataan sedikit. Anak buah saya bukan pembuli, malah tidak mengenali si penikam. Si penikam ada masalah mental dan buat secara random (rawak),” jelasnya.
Wanita itu juga meminta orang ramai untuk berhenti menyebarkan fitnah serta spekulasi yang mengaibkan mangsa dan keluarga.
“Ada yang tulis dah mati. Padan muka sebab membuli. Ya Allah, kalau tak tahu cerita tolonglah jangan buat spekulasi sendiri. Anak buah saya masih berada di zon merah.
“Dia sedang diselamatkan oleh doktor dan pakar-pakar. Mohon doakan anak buah saya selamat kerana tikaman yang banyak, berbelas tikaman dan paling parah pada bahagian paru-paru,” katanya.
Di ruangan komen, ada juga yang meninta pengesahan sama ada wanita itu benar saudara kepada mangsa atau sebaliknya.
Terdahulu, beberapa rakaman video tular memaparkan seorang wanita berpakaian serba hitam dipercayai membawa sebilah pisau sambil bergerak di kawasan sekolah sehingga mencetuskan panik dalam kalangan pelajar.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Firuz Ibrahim, 43, memaklumkan anak perempuannya dipercayai ditikam sehingga 16 kali oleh rakannya sendiri menggunakan pisau.
Kebanyakan tikaman dilaporkan mengenai bahagian belakang badan, termasuk menyebabkan kecederaan serius pada paru-paru kiri anaknya. – KOSMO! ONLINE














