INDUSTRI Bollywood sering kali dikaitkan dengan amalan nepotisme. Jika ada ‘kabel’ dalam industri perfileman terutamanya yang mempunyai pertalian darah, maka laluan untuk menembusi layar perak lebih mudah.
Berbeza dengan mereka yang tiada pertalian darah atau kenalan dalam industri Bollywood. Bakat-bakat yang datang dari serata ceruk India ini perlu bekerja keras untuk menembusi industri Bollywood yang dianggap elit.
Namun, beberapa pelakon wanita berjaya membuktikan bahawa bakat, kerja keras dan keberanian mengambil risiko mampu membuka jalan menuju kejayaan.
Berikut antara heroin Bollywood yang membina empayar sendiri tanpa ‘kabel’ atau pengaruh keluarga.

Kriti Sanon
Sejak membintangi filem Heropanti pada 2014, kerjaya aktres tinggi lampai ini terus meroket laju.
Kriti juga berjaya menggondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik National Award menerusi lakonan hebatnya dalam filem Mimi.
Terbaharu lakonan Kriti dalam filem Cocktail 2 mendapat pujian ramai. Filem tersebut mengutip kutipan pecah panggung.

Priyanka Chopra
Seorang lagi alumni Miss World yang berjaya menempa nama bukan sahaja dalam industri Bollywood, malah masyhur hingga ke Hollywood.
Priyanka hadir dengan pakej lengkap sebagai seorang pelakon versatil. Dia mampu menggalas pelbagai watak termasuklah heroin yang naif, antagonis dan aksi.
Kehebatan Priyanka terserlah apabila dia berjaya menggalas watak heroin dalam sebuah filem tanpa bantuan hero terkenal seperti yang dilakukan dalam filem Fashion dan Mary Kom.

Aishwarya Rai
Kejelitaan yang dimiliki oleh Aishwarya telah berjaya memukau seluruh India. Malah kejelitaan turut melayakkan dia dimahkotakan sebagai Miss World 1994.
Sebelum bergelar ratu cantik lagi Aishwarya sudah menempa populariti di India sewaktu dia bergelar model. Iklan yang dibintangi membuatkan dia terkenal di seluruh India.
Namun, Aishwarya tidak memulakan langkah pertamanya sebagai pelakon menerusi industri Bollywood. Dia sebaliknya memilih debut pertama sebagai pelakon menerusi filem Tamil berjudul Iruvar.

Deepika Padukone
Biarpun bapanya merupakan atlet badminton terkenal India, namun itu bukan tiket untuk Deepika Padukone terjun ke industri Bollywood dengan mudah.
Sama seperti Aishwarya, Deepika bermula sebagai peragawati terkenal di India. Kejelitaan serta ketinggiannya menambat hati pengarah dan penerbit filem.
Debut pertamanya di Bollywood menerusi filem Om Shanti Om di samping Shah Rukh Khan telah melonjakkan nama Deepika sehingga dia menjadi aktres termahal di India.

Kangana Ranaut
Aktres sensasi itu sering menjadi perhatian dek kelantangannya mengkritik budaya nepotisme dalam industri Bollywood.
Kangana antara heroin Bollywood yang berjaya membintangi filem pecah panggung tanpa perlu bergandingan dengan hero terkenal.
Antara filem lakonannya yang mendapat perhatian ramai adalah Fashion, Gangster, dan Queen.














