fbpx
JUARA bertahan, Argentina nyata lebih berpengalaman di pentas tertinggi untuk mengatasi cabaran Cape Verde sebelum mengesahkan kemenangan 3-2 di pusingan 32 Piala Dunia 2026. - AFP

Piala Dunia 2026: Argentina cemas sebelum tewaskan Cape Verde

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MIAMI – Cerita luar biasa Cape Verde di pentas Piala Dunia 2026 menemui titik noktah selepas tunduk 2-3 kepada juara bertahan, Argentina pada aksi pusingan 32 di Stadium Miami, sebentar tadi.

Bagaimanapun, Cape Verde sudah pun mencipta detik indah pada penyertaan sulungnya di Piala Dunia apabila mampu menghadirkan rasa cemas dan memaksa Argentina ‘mandi peluh’ selepas perlawanan diheret sehingga 120 minit.

Walaupun memiliki reputasi lebih besar dan dibarisi ramai bintang dunia, Argentina terpaksa menanti sehingga minit ke-29 untuk membuka jaringan menerusi bintang sensasinya, Lionel Messi sekali gus menutup babak pertama dengan kedudukan 1-0.

Bagaimanapun, kebangkitan Cape Verde bermula seawal 14 minit pertama di babak kedua apabila kembali menyamakan kedudukan menerusi penyudah Deroy Duarte.

Jaringan itu membuatkan skuad kendalian Bubista makin bersemangat untuk mengekang setiap serangan Argentina dimana benteng pertahanannya dilihat cukup berdisiplin setiap kali melakukan halangan.

Hanya dua minit selepas masa tambahan dimulakan, La Albiceleste kembali di depan hasil penyudah sempurna Lisandro Martínez namun kelebihan itu hanya bertahan 11 minit apabila Sidny Lopes Cabral melakukan lencongan menarik untuk menewaskan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez buat kali kedua.

Bagaimanapun, harapan Cape Verde untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti tidak berhasil apabila Argentina memperoleh gol ketiga selepas tandukan Cristian Romero pada minit ke-111 terkena Diney Borges sebelum bola masuk ke gawang sendiri.

Pada aksi pusingan 16, Rabu ini, Argentina dijadualkan menentang Mesir yang tewaskan Australia 4-2 pada penentuan penalti. AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN