VANCOUVER – Pengendali Algeria, Vladimir Petkovic mengakui pasukannya menerima hukuman setimpal apabila beberapa kesilapan mudah dimanfaatkan Switzerland untuk mencatat kemenangan 2-0 sekali gus menyingkirkan mereka daripada saingan Piala Dunia, sebentar tadi.
Menurut Petkovic, benteng pertahanan Algeria gagal berfungsi sebagai satu unit yang mantap sehingga setiap kesilapan yang dilakukan berjaya diterjemahkan Switzerland kepada jaringan.
“Saya tidak mahu menyalahkan barisan pertahanan semata-mata, tetapi secara keseluruhannya cara kami bertahan menyebabkan kami dihukum dengan cukup berat.
“Setiap kali kami melakukan kesilapan pertama, kami dibolosi. Lawan hanya mempunyai tiga peluang dan menjaringkan dua gol, sedangkan kami mencipta lebih banyak peluang tetapi gagal memanfaatkannya,” katanya.
Petkovic yang pernah membimbing Switzerland selama tujuh tahun mengakui anak-anak buahnya berdepan cabaran lebih besar apabila beraksi di pentas Piala Dunia yang menuntut tahap permainan lebih tinggi.
“Kami bertahan dengan baik sebelum ini dan tidak banyak melepaskan gol, tetapi di Piala Dunia tahap persaingan jauh lebih tinggi. Kami perlu lebih kemas dan bijak menyesuaikan diri dengan standard permainan seperti ini,” jelasnya.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 62 tahun itu enggan melihat kekalahan tersebut sebagai satu kegagalan memandangkan Algeria sudah pun mencipta pencapaian membanggakan dengan mara ke pusingan kalah mati selepas kali terakhir beraksi di pentas Piala Dunia 12 tahun lalu.
“Ia sudah menjadi satu kejayaan besar untuk kembali ke Piala Dunia selepas 12 tahun, malah kami turut melepasi saingan peringkat kumpulan buat kali kedua dalam sejarah.
“Sudah tentu kami mahu melangkah lebih jauh, namun kali ini kami tewas kepada pasukan yang lebih baik. Apa yang penting, kami perlu belajar daripada kelemahan yang ditunjukkan sambil membawa bersama segala perkara positif sepanjang kejohanan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE






