fbpx
WANITA yang mahu dikenali sebagai Intan ketika ditemui di rumahnya di Alor Setar, semalam.

‘Saya tak menyesal kahwin lelaki Rohingya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seorang wanita mendakwa tidak pernah menyesal mengahwini lelaki etnik Rohingya pada usia 19 tahun meskipun sering berdepan kecaman masyarakat, sebaliknya bersyukur kerana dikurniakan enam cahaya mata hasil perkahwinan mereka.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Intan, 36, berkata, dia mengenali suaminya yang ketika itu bekerja di sebuah kedai makan di sini, manakala dia menghantar kuih ke premis tersebut.

“Masa itu umur kami baru 19 tahun. Daripada berkawan akhirnya kami berkahwin pada 2008 dan kini mempunyai enam anak berusia antara empat hingga 16 tahun. Semua anak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan,” dakwanya.

Dia berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah (PAKU) yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Amirul Syahir Musa di rumahnya di sini semalam.

Menurut Intan, perkahwinan mereka mendapat restu keluarga kerana ahli keluarganya mengenali suami yang disifatkan sebagai seorang yang baik dan bertanggungjawab.

Katanya, suaminya yang dibawa masuk ke Malaysia oleh ibu bapanya ketika masih bayi sudah lama menetap di negara ini sehingga fasih bertutur dalam loghat Kedah dan hanya bekerja mengambil upah di kedai makan serta memotong rumput untuk menyara keluarga.

Bagaimanapun, katanya, kehidupan mereka berubah apabila suaminya ditahan dan kini ditempatkan di Depot Imigresen Belantik, Sik sejak Oktober tahun lalu.

“Suami ada kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan saya dimaklumkan dia hanya dapat dibebaskan selepas urusan melibatkan UNHCR selesai,” ujarnya.

Menurutnya, sepanjang ketiadaan suami, dia hanya bergantung kepada pendapatan menjual kuih yang tidak menentu selain bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM1,000 untuk menyara keluarga.

Tambahnya, anak sulung mereka turut membantu mencari rezeki dengan bekerja di sebuah kedai makan selepas tamat waktu persekolahan selain membantu menguruskan adik-adiknya.

“Sedih tengok anak sulung terpaksa mengambil alih tanggungjawab ayah. Dia bekerja setiap hujung minggu sehingga lewat malam dan akan pergi bekerja pada hari biasa jika dipanggil majikan,” katanya.

Mengulas kecaman terhadap etnik Rohingya, Intan berkata, dia memilih mengabaikan pandangan negatif orang ramai kerana yakin suaminya seorang yang baik, bertanggungjawab terhadap keluarga dan tidak pernah menyesal mengahwininya kerana menganggap ia adalah jodoh mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN