KINSHASA – Wabak demam berdarah Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) membunuh lebih 400 orang dan masih merebak, dengan kes pertama dilaporkan di bandar utama Kisangani, hampir 600 kilometer dari pusat wabak.
Penyakit sangat mudah berjangkit itu meragut 438 nyawa daripada 1,406 kes disahkan sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei lalu, kata Institut Kesihatan Awam Kebangsaan (INSP) dalam laporan terbaharunya semalam.
Pusat wabak berada di wilayah Ituri, timur laut DRC di mana lebih 83 peratus kematian berlaku.
Wilayah Ituri bersempadan dengan Sudan Selatan dan Uganda, yang turut melaporkan 20 kes termasuk dua kematian.
Virus itu juga merebak ke wilayah berdekatan, Kivu Utara dan Kivu Selatan.
Satu kes baru-baru ini juga dilaporkan di Kisangani, bandar di timur laut DRC dengan 1.5 juta penduduk dan merupakan ibu kota wilayah Tshopo.
Kes baharu itu susulan ujian ke atas mayat seorang wanita hamil berusia 24 tahun yang disahkan positif Ebola.
“Mayat si mati dibawa secara rahsia dengan motosikal ke Kisangani dari zon kesihatan Nia Nia di Ituri,” kata INSP.
Ebola yang merebak melalui sentuhan dengan cecair badan pesakit, membunuh lebih 15,000 orang di Afrika sejak 50 tahun lalu.
Varian Bundibugyo menjadi punca wabak semasa dan tiada vaksin atau rawatan khusus untuknya. – AFP














