fbpx
Pandak (tengah) menyantuni para pengundi ketika berkempen di pasar malam di kawasan DUN Kota Iskandar, Iskandar Puteri. – Foto oleh RAJA JAAFAR ALI

Pandak tawar 10 fokus manifesto, bukan janji politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Rekod perkhidmatan serta pendekatan mesra rakyat menjadi antara kekuatan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dalam usaha mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 11 Julai ini.

Menurut beliau, Kota Iskandar mempunyai landskap pengundi unik kerana dihuni pelbagai kelompok masyarakat termasuk golongan profesional, teknokrat, nelayan, orang kampung, Orang Asli, belia dan juga usahawan.

Menurutnya yang mesra disapa Tok Pandak, kepelbagaian itu perlu pendekatan berbeza kerana setiap kelompok mempunyai keperluan, cara hidup dan isu berlainan untuk ditangani.

“Kalau bertemu masyarakat Orang Asli, kita kena faham cara hidup dan budaya mereka supaya tidak wujud jurang semasa berinteraksi.

“Kalau nelayan pula kita harus faham rutin kehidupan mereka, cabaran mencari rezeki dan isu dihadapi setiap hari,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada kempen PRN Johor di Pejabat ADUN Kota Iskandar di sini.

Pandak berkata, antara ke­lebihan dimilikinya ialah pe­ngalaman luas dalam pentadbiran, selain hubungan baik dengan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan yang memudahkan urusan penyelesaian masalah rakyat.

Katanya, sepanjang tempoh perkhidmatannya, pelbagai isu melibatkan pendidikan, kebajikan, pembangunan, peluang perumahan dan keperluan asas penduduk telah diberi perhatian.

“Kadang-kadang masalah rakyat bukan sebab tiada bantuan, tetapi tidak tahu bagaimana mahu mendapatkannya.

“Saya pernah jumpa ramai pasangan muda yang tidak tahu kaedah memohon rumah walaupun pelbagai skim dan bantuan disediakan kerajaan,” katanya.

Ujarnya, dalam usaha memenangi hati pengundi, tumpuan tidak hanya diberikan kepada janji politik semata-mata, sebaliknya meneruskan pelan pembangunan dirancang.

Katanya, konsep ‘Kota Iskandar Gemilang Kita Bina Bersama’ dibawanya memberi fokus kepada pemba­ngunan ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan dan kesejahte­raan penduduk.

“Peranan wakil rakyat bukan sekadar muncul ketika musim pilihan raya atau mendengar aduan semata-mata, tetapi perlu menjadi ‘jambatan’ membawa suara, denyut nadi dan keresahan rakyat kepada kerajaan.

“Ini bagi membolehkan setiap masalah diterjemah kepada tindakan dan penyelesaian,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN