fbpx
Proton Saga kekal laris dengan merekodkan jualan 44,375 unit tahun ini.

Proton rekod jualan terbaik dalam tempoh 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Proton mencatatkan prestasi jualan separuh tahun pertama terbaiknya dalam tempoh 15 tahun selepas berjaya melepasi angka 100,000 unit bagi enam bulan pertama tahun 2026.

Sebanyak 16,052 unit kenderaan telah diserahkan Proton kepada pelanggan pada Jun lalu, menjadikan jumlah jualan keseluruhan Kumpulan bagi tempoh Januari hingga Jun meningkat kepada 100,346 unit, iaitu pertumbuhan 39.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pencapaian itu merupakan prestasi jualan separuh pertama terbaiknya sejak tahun 2011, meletakkan syarikat di landasan tepat untuk mencapai sasaran 200,000 unit jualan tahun ini.

Menurut Proton, model dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) terus menjadi tunjang pertumbuhannya apabila beberapa model berjaya mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam segmen masing-masing.

Proton Saga kekal sebagai model paling laris syarikat apabila mencatat 7,000 unit jualan pada Jun, sekali gus meningkatkan jumlah jualannya tahun ini kepada 44,375 unit, meningkat 40 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Proton S70 pula terus mengukuhkan kedudukannya sebagai sedan segmen-C paling laris di Malaysia apabila mencatat tambahan 2,307 unit jualan pada Jun, menjadikan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 12,832 unit, atau 37.3 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2025.

Dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV), Proton X50 terus mengekalkan status sebagai SUV segmen-B dan SUV paling laris di Malaysia dengan 2,378 unit diserahkan pada Jun, menjadikan jumlah jualan mencecah 15,345 unit, naik 35.1 peratus.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Rashid Musa berkata, kejayaan melepasi angka 100,000 unit jualan sebelum pertengahan tahun merupakan satu pencapaian penting buat Proton dan mencerminkan keyakinan berterusan rakyat Malaysia terhadap produk serta jenama syarikat.

“Apa yang lebih membanggakan ialah pertumbuhan ini disokong secara menyeluruh oleh keseluruhan portfolio produk kami.

“Permintaan terhadap model-model ICE kekal kukuh, manakala Proton e.MAS terus berkembang pesat yang membuktikan keupayaan Proton memenuhi keperluan pelanggan di setiap peringkat perjalanan mobiliti mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN