SAYA telah maklum bahawa bahan solekan yang menghalang air daripada sampai ke kulit adalah wajib dibersihkan terlebih dahulu sebelum berwuduk. Namun, apa yang dialami oleh kebanyakan wanita adalah kesan glitter atau kilauan yang kecil masih terlekat di permukaan kulit, walaupun setelah dibersihkan bahan solekan tersebut. Adakah kesan glitter ini menghalang air wuduk? Mohon penjelasan Datuk Mufti.
JAWAPAN: Pertama sekali, perlu difahami bahawa berwuduk merupakan salah satu daripada syarat sah solat. Wuduk yang tidak sempurna akan menyebabkan tidak sahnya solat seseorang.
Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, kedua-dua belah tangan kamu meliputi siku, sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.” (Surah al-Maidah, 6)
Ayat di atas menjelaskan kewajipan berwuduk sebelum menunaikan solat berserta rukun-rukun wuduk yang wajib diikuti iaitu membasuh dan meratakan air pada bahagian muka dan kedua-dua belah tangan hingga ke siku.
Kemudian menyapu sebahagian daripada kepala dan membasuh kedua-dua belah kakinya sehingga ke buku lali.
Terdapat sepotong hadis yang menunjukkan bahawa wajib meratakan air pada seluruh anggota wuduk seperti mana yang diriwayatkan oleh Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang lelaki berwuduk dan telah tertinggal basuhan pada kuku kakinya yang dilihat oleh Rasulullah, lalu Baginda bersabda: Ulanglah semula dan berwuduklah dengan sempurna. Lalu dia terus mengulanginya dengan sempurna dan mendirikan solat.” (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis ini, sekiranya ada mana-mana bahagian anggota wuduk yang tidak disentuh air, walaupun sedikit, maka wuduk itu tidak dikira sah kerana tidak menepati rukun yang ditetapkan.
Oleh itu, para ulama bersepakat bahawa sesuatu yang menghalang air ke kulit adalah wajib dibersihkan terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk.
Ini berdasarkan keumuman ayat yang menyatakan kewajipan meratakan air ke seluruh anggota wuduk, maka wajib juga menanggalkan apa-apa menghalangnya.
Merujuk kepada persoalan, umum mengetahui bahawa terdapat bahan kosmetik tertentu yang bersifat tidak telap air.
Oleh kerana sifat bahan kosmetik tersebut yang menghalang air sampai ke kulit ketika berwuduk, maka diwajibkan untuk menanggalkannya dengan sempurna terlebih dahulu sebelum berwuduk.
Namun, setelah mencuci dan menanggalkan solekan tersebut, didapati serbuk kilauan kecil (glitter) daripada bahan solekan masih terlekat di permukaan kulit.
Glitter atau serbuk kilauan adalah bahan buatan manusia yang diperbuat daripada kepingan kecil aluminium dan sejenis plastik yang bernama polietilena tereftalat (PET).
Selain itu, dalam dunia kosmetik terdapat juga sejenis serbuk kilauan yang dipanggil shimmer. Ia merupakan serbuk kilauan diperbuat daripada serpihan kecil mica dan bersifat lebih halus berbanding glitter.
Kajian menunjukkan bahawa bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan serbuk kilauan kosmetik ini adalah bersifat pejal dan tidak telap air.
Sebarang bahan pejal yang jelas kelihatan oleh mata kasar dan bersifat menghalang air ke anggota badan adalah wajib ditanggalkan sebelum mengambil wuduk, walaupun bahan tersebut kecil atau sedikit seperti glitter.
Pepejal yang berbaki atas permukaan kulit akan menyebabkan wuduk tidak sah.
Sekiranya seseorang menyedari dengan mata kasarnya bahawa kesan glitter yang berbaki masih terlekat pada permukaan kulitnya setelah selesai menunaikan solat fardu atau semasa menunaikan solat fardu, maka solat yang didirikan daripada wuduk tersebut adalah wajib digantikan dengan mengambil wuduk baharu.
Sekiranya seseorang itu telah berasa pasti dan yakin terhadap sesuatu, kemudian timbul rasa syak sama ada perkara itu telah hilang atau tidak. Maka asasnya, hukum yang pasti itu kekal seperti sedia ada dan tidak dibatalkan dengan perasaan syak yang timbul selepas itu.
Dalam hal ini, seseorang itu pada asalnya telah pasti bahawa wuduknya adalah sah. Kemudian, dia meragui sama ada dia telah menanggalkan kesan glitter sepenuhnya atau tidak.
Maka dapat disimpulkan bahawa wuduknya kekal sah dan tidak wajib qada solat, melainkan dia yakin bahawa kesan glitter tersebut sememangnya ada di permukaan kulitnya pada waktu tersebut.














