MIAMI – Belgium mencipta sensasi apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum menewaskan Senegal 3-2 menerusi sepakan penalti kontroversi pada minit ke-122 untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026.
Ketika Senegal hanya beberapa minit lagi untuk melakar kejutan besar, Romelu Lukaku dan Youri Tielemans muncul penyelamat apabila meledak dua gol dalam tempoh tiga minit penghujung permainan sebenar bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Senegal sebelum itu berada di landasan terbaik untuk mara hasil jaringan Habib Diarra pada babak pertama sebelum Ismaila Sarr menggandakan kelebihan, sekali gus meletakkan Belgium di ambang penyingkiran.
Bagaimanapun, percaturan berani jurulatih Belgium, Rudi Garcia memasukkan beberapa pemain gantian mengubah rentak permainan apabila Lukaku merapatkan kedudukan pada minit ke-86 sebelum Tielemans menyamakan kedudukan menerusi tandukan hasil hantaran Leandro Trossard.
Belgium turut berhutang budi kepada penjaga gol, Thibaut Courtois yang melakukan penyelamatan penting ketika menafikan percubaan Sadio Mane ketika kedudukan masih 2-0, sekali gus memastikan harapan pasukannya terus bernyawa.
Drama sebenar hadir ketika aksi memasuki minit ke-122 apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Belgium selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan Lamine Kamara mengasari Tielemans di dalam kotak penalti.
Tielemans tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk melengkapkan kebangkitan luar biasa Belgium, sekali gus mengesahkan tempat mereka ke kelompok 16 terbaik.
Kekalahan itu nyata sukar diterima Senegal yang tampil lebih cemerlang hampir sepanjang perlawanan, namun terpaksa melupakan impian mara lebih jauh selepas dihukum kebangkitan lewat Belgium dalam antara aksi paling dramatik setakat saingan Piala Dunia 2026. KOSMO! ONLINE














