fbpx
'GENDANG perang' sudah dimulakan selepas penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

‘BN kukuh pengaruh kawasan tradisi, parti lawan ‘tawan’ bandar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Debaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 semakin memuncak apabila strategi parti-parti utama mula terbongkar sebaik selesai proses penamaan calon, sekali gus menandakan ‘perang’ sebenar kini baru bermula.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (MassComm), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Abdul Aziz Azizam berkata, susunan calon yang dilakukan parti-parti utama bukan sekadar mengisi kekoso­ngan kerusi, sebaliknya mempunyai percaturan politik yang tersusun dan sarat mesej tersirat.

Menurutnya, apa yang berlaku kali ini memperlihatkan setiap parti sedang ‘memacak panglima perang’ di wilayah strategik ma­sing-masing bagi membuka laluan menawan lebih banyak kawasan.

“Daripada apa yang dapat dilihat, calon-calon heavyweight diletakkan mengikut geopolitik tempatan, kekuatan ekonomi kawasan dan kepentingan pengaruh parti.

“Ini bukan penempatan biasa, tetapi susunan yang menunjukkan parti sedang mengatur ­medan ‘serangan’ masing-ma­sing,” katanya.
Katanya, Barisan Nasional (BN) dilihat cuba mengukuhkan pengaruh di kawasan tradisi Melayu dan Felda, manakala parti lawan pula memberi tumpuan kepada kawasan bandar yang mempunyai demografi lebih pelbagai.

Beliau berkata, selepas tamat penamaan calon, pertempuran kini memasuki fasa lebih mencabar apabila perang persepsi bakal menjadi senjata utama setiap parti.

“Perang selepas ini bukan lagi soal siapa bertanding, tetapi siapa yang mampu mencipta keyakinan dan menguasai emosi pengundi,” ujarnya.
Dr. Abdul Aziz turut berpandangan, beberapa kerusi kini berada dalam zon amaran apabila dijangka menjadi medan ‘pertempuran’ paling sengit dalam PRN kali ini.

Katanya, kerusi seperti ­Tangkak, Parit Raja, Serom dan Pengerang berpotensi menjadi ‘kerusi panas’ kerana majoriti kemenangan sebelum ini adalah terlalu tipis.

“Kerusi seperti ini adalah cukup sensitif.

“Sedikit perubahan sentimen, isu tempatan atau peralihan sokongan sudah cukup untuk menukar keputusannya,” ujar­nya.

Beliau berkata, perhatian juga tertumpu kepada kerusi melibatkan pemimpin utama kerana keputusan di kawasan tersebut bukan sahaja menentukan kemenangan calon, tetapi turut menjadi ukuran terhadap tahap penerimaan rakyat.

“Ini bukan sekadar perlawanan merebut kerusi, tetapi pertarungan maruah, pengaruh dan masa depan politik parti.

“Selepas penamaan calon inilah ‘perang’ sebenar PRN Johor bermula,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN