fbpx
SEPANYOL diletakkan pilihan untuk muncul pemenang bertemu Austria, namun mereka enggan terlalu selesa. - AFP

Piala Dunia 2026: Sepanyol enggan silap jangka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CHATTANOOGA – Tonggak tengah Sepanyol, Fabian Ruiz mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang mudah cabaran Austria menjelang aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 selepas mengakui tiada lagi pasukan yang boleh dianggap mudah di pentas dunia.

Menurut Ruiz, status selaku juara Eropah tidak menjanjikan apa-apa kelebihan kerana setiap pasukan kini memiliki kualiti tersendiri, sekali gus mampu menghukum lawan yang leka.

Selepas diikat Cape Verde tanpa jaringan pada aksi pembukaan, La Roja bangkit mencatat kemenangan ke atas Arab Saudi dan Uruguay untuk muncul juara Kumpulan H, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka menjelang aksi kalah mati.

“Perlawanan pertama tidak berjalan seperti yang kami mahukan kerana kami masih mencari rentak dan Cape Verde menyukarkan kami. Saya percaya pasukan semakin menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.

“Kami tahu Piala Dunia adalah kejohanan yang sangat sukar, namun kami mempunyai keyakinan tinggi terhadap kemampuan sendiri dan segala usaha yang telah dilakukan,” katanya.

Sepanyol yang muncul juara dunia pada 2010 masih gagal memenangi sebarang perlawanan kalah mati Piala Dunia sejak edisi tersebut apabila tersingkir di peringkat kumpulan pada 2014 sebelum tewas menerusi penentuan penalti kepada Russia dan Maghribi dalam dua edisi berikutnya.

“Sekarang ini semua orang dapat lihat bahawa mana-mana pasukan mampu menewaskan anda. Saya fikir kami sudah bersedia untuk cabaran ini dan tidak sabar menanti perlawanan tersebut,” jelas Ruiz.

Dalam masa sama, pemain berusia 30 tahun itu tetap meletakkan kepentingan pasukan mengatasi pencapaian peribadi biarpun terpaksa memulakan dua perlawanan terakhir di bangku simpanan.

“Apa yang penting adalah kemenangan pasukan. Tugas saya sekarang adalah menyokong rakan sepasukan dan memastikan saya sentiasa bersedia apabila jurulatih memerlukan khidmat saya,” jelasnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN