PETALING JAYA – Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan supaya tidak menyalahgunakan uniform tentera bagi mengejar populariti di media sosial sehingga boleh mencemarkan imej institusi pertahanan negara.
ATM dalam satu kenyataan berkata, media sosial kini memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap institusi ketenteraan.
“Setiap hantaran, setiap video dan setiap gambar membawa satu mesej. Bukan sahaja tentang diri sendiri, tetapi tentang institusi yang memakai lambang di dada dan uniform di badan,” katanya.
Mengulas lanjut, masih terdapat warga ATM mengambil ringan kepentingan mematuhi Arahan Perintah Am Angkatan Tentera (PAAT) berkaitan tatacara penggunaan media sosial.
“Jika mahu menjadi pempengaruh, jadilah dengan identiti sendiri. Bina kandungan melalui bakat, ilmu dan personaliti, bukan menjadikan uniform kebanggaan kita sebagai alat untuk mengejar tontonan atau meningkatkan pengaruh peribadi,” ujarnya.
ATM turut mengingatkan bahawa tidak semua perkara perlu dikongsi kepada umum, termasuk hal berkaitan organisasi dan tugas yang boleh memberi kesan negatif pada badan organisasi itu sendiri.
“Jangan apabila dikenakan tindakan, institusi yang dipersalahkan.
“Rahsia negara bukan bahan kandungan. Uniform bukan alat populariti. Disiplin bukan pilihan, ia adalah identiti seorang tentera,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE














