PETALING JAYA – Bina Puri Holdings Bhd. (Bina Puri) mengumumkan bahawa cadangan skim pengaturan berhubung liabiliti tertunggaknya telah diluluskan oleh majoriti pemiutang skim.
Pada mesyuarat yang dipanggil oleh mahkamah semalam, skim tersebut telah diluluskan oleh pemiutang skim yang hadir dan mengundi, mewakili liabiliti berjumlah RM301.41 juta, atau 87.62 peratus daripada jumlah keseluruhan liabiliti tertunggak yang diliputi di bawah skim.
Memandangkan majoriti yang diperlukan, iaitu 75 peratus daripada nilai pemiutang skim yang hadir dan mengundi telah diperoleh, skim tersebut telah diluluskan sewajarnya.
Skim itu akan mengikat Bina Puri dan pemiutang skimnya sebaik sahaja Perintah Pengesahan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya dan perintah tersebut didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bina Puri, Marcus Goh Kee Lun berkata, pihaknya amat berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh para pemiutang terhadap cadangan Skim Pengaturan.
“Keputusan undian ini, yang menunjukkan sokongan padu terhadap skim mencerminkan keyakinan terhadap Bina Puri, keadilan penyelesaian yang telah kami kemukakan, serta masa depan syarikat.
“Ia merupakan satu langkah penting dalam proses penstrukturan semula kami dan meletakkan syarikat di landasan yang kukuh ke arah kedudukan kewangan yang lebih mantap serta kunci kira-kira yang lebih berdaya tahan.
“Keutamaan kami kini adalah untuk mendapatkan pengesahan Mahkamah dan menyempurnakan baki proses dengan cekap, supaya kami dapat memenuhi komitmen kepada para pemiutang sambil memberi tumpuan sepenuhnya kepada pertumbuhan.
“Dengan kedudukan kewangan yang semakin stabil, kami berada dalam keadaan yang lebih baik untuk merebut peluang pertumbuhan pada masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














