ALOR GAJAH – Polis Melaka menguji kesiapsiagaan anggotanya menerusi simulasi senario rusuhan dan provokasi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, meskipun keadaan keselamatan di negeri ini disahkan terkawal dan aman.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, latihan selama dua hari itu melibatkan simulasi di bilik gerakan dan lapangan bagi menguji keupayaan anggota polis serta agensi berkaitan dalam menangani pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku sepanjang proses pilihan raya.
Menurut beliau, walaupun tarikh PRN Melaka masih belum diumumkan, persediaan awal perlu dilakukan bagi memastikan setiap aspek keselamatan berada pada tahap terbaik.
“Latihan ini bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan kita dalam menghadapi PRN dan ia melibatkan latihan bersepadu bersama pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Kesihatan.
“Ini merupakan julung kali latihan seumpama ini diadakan di Melaka dengan penglibatan pelbagai agensi,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Latih Amal Ex-Undi PRN Ke-16 Negeri Melaka Tahun 2026 (Simulasi Ketenteraman Awam) di Tanjung Bidara di sini malam tadi.
Menurut beliau, seramai kira-kira 3,300 pegawai dan anggota polis akan digerakkan bagi mengendalikan aspek keselamatan sepanjang PRN bermula daripada proses penamaan calon, tempoh berkempen, hari pengundian sehingga selepas keputusan pilihan raya diumumkan. – KOSMO! ONLINE














