KUALA LUMPUR – Selepas 20 tahun tidak bergandingan dalam mana-mana filem atau drama, pelakon terkenal Erra Fazira dan Datuk Hans Isaac kembali berkongsi layar dalam drama bersiri Gerak Khas 2.0.
Naskhah kepolisan itu bakal ditayangkan di saluran TV Sarawak (TVS) bermula 3 Julai 2026 diterbitkan oleh Skop Productions.
Menurut Erra atau nama lengkapnya Fazira Wan Chek, 52, dia pada mulanya terkejut apabila melihat nama Hans berada dalam senarai pelakon Gerak Khas 2.0.
“Kali terakhir kami terlibat dalam naskhah yang sama adalah menerusi filem Cuci yang ditayangkan pada tahun 2008.
“Saya terkejut bila tengok nama dia naik. Saya tertanya-tanya nak ke Hans berlakon — dia kan sibuk dengan dunia politik.
“Tetapi dia sanggup sahut cabaran terlibat dengan siri ini. Alhamdulillah kami profesional,” katanya ketika ditemui pada sidang media Gerak Khas 2.0, yang berlangsung di pawagam TGV KLCC, hari ini.
Sementara itu bagi Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 54, pula, dia juga terkejut apabila melihat Erra pada hari pertama penggambaran.
“Saya tak tahu siapa yang pegang karakter apa dalam drama ini. Bila saya sampai set saya nampak ada Erra. Saya kata ‘eh mak cik you ada’. Lepas tu kami ketawa selama lima minit.
“Tiada masalah untuk berlakon bersama. Sebelum ini pun kami pernah jumpa di beberapa acara.
“Tetapi apa yang unik, kami hormati masing-masing punya kehidupan peribadi. Bila habis penggambaran, kami kembali semua kepada kehidupan kami,” jelasnya.
Kedua-dua pelakon itu juga tidak menolak seandainya ada penerbit dan pengarah yang ingin menggandingkan mereka berdua dalam mana-mana naskhah selepas ini.
Untuk rekod, Erra dan Hans pernah dilaporkan bercinta sekitar tahun 2006 hingga 2007, namun hubungan mereka terputus di tengah jalan. – KOSMO ONLINE.














