PETALING JAYA – Dua anggota Tentera Darat (TDM) yang cedera selepas senjata yang dikendalikan mereka meletup secara tiba-tiba ketika menjalani Latihan Peningkatan Tempur (LPT) di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah semalam dilaporkan stabil.
Mangsa yang terlibat dalam kejadian pada pukul 6.15 petang itu ialah Sarjan Mohamad Firdaus Che Shaharudin dan Koperal Felix anak Franchis daripada Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD).
Menurut TDM, Mohamad Firdaus menerima rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang, manakala Felix pula masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Katanya, kejadian berlaku ketika sesi latihan tembakan apabila senjata yang dikendalikan kedua-dua anggota mengalami ‘stoppage’ atau tersangkut dan gagal meletup.
Kedua-dua anggota tersebut melaksanakan tindakan segera mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan bagi menangani situasi yang berlaku.
“Bagaimanapun, satu letupan berlaku secara tiba-tiba mengakibatkan kedua-dua anggota cedera di kaki akibat terkena serpihan.
“Mangsa diberikan rawatan kecemasan awal di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan pasukan sebelum dikejarkan ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, TDM berkata, Lembaga Siasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut secara menyeluruh. Lapang Sasar Kem Hobart turut ditutup sementara bagi membolehkan proses siasatan dijalankan.
“TDM memandang serius insiden ini dan akan memastikan aspek keselamatan serta prosedur operasi standard latihan sentiasa diutamakan,” katanya.
Pada masa sama, TDM memohon kerjasama orang ramai khususnya pengguna media sosial agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan serta menghormati privasi anggota terlibat dan keluarga mereka.- KOSMO! ONLINE














