fbpx
UKVJ memainkan peranan penting dalam membantu waris yang tidak berkemampuan menguruskan pengebumian jenazah. – GAMBAR HIASAN

7 jam jenazah ‘disidai’ dihurung semut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Isu pengurusan jenazah semakin membimbangkan apabila terdapat kes jenazah dibiarkan sehingga tujuh jam kerana waris tidak mampu melunaskan kos pengurusan pengebumian kepada pihak masjid.

Situasi itu didakwa berlaku di beberapa negeri apabila jenazah dibiarkan terbujur dan hanya ditutup kain batik sementara me­nunggu bayaran diselesaikan.
Lebih menyayat hati, kelewatan itu menyebabkan ada jenaza­h dihurung semut sebelum sempat diuruskan dengan sempurna.

Pengerusi dan Pengasas Unit Kenderaan Van Jenazah (UKVJ), Wan Cai yang mendedahkan situa­si itu berkata, pihaknya pernah berdepan sekurang-kurangnya 10 kes seperti itu di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka sebelum ini.

Katanya, kebanyakan kes berlaku melibatkan golongan miskin bandar apabila waris tidak mampu menjelaskan kos pengurusan.

“Memang ada kes jenazah dibiarkan begitu lama. Dalam beberapa kes, ada yang terbiar selama tujuh jam.

“Ini kerana ada segelintir pengurusan kariah didakwa tidak mahu menguruskan jenazah itu sebab waris tiada wang,” katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, antara kes pernah dikendalikan melibatkan seorang lelaki yang meninggal dunia di rumah sewa dan gagal diuruskan segera selepas waris tidak mampu menyediakan kos pengurusan, kira-kira tujuh tahun lalu.

Dalam kes itu katanya, kos yang dikenakan ialah RM1,550 untuk mandi dan kafan serta RM1,500 lagi bagi pengangkutan jenazah dari Shah Alam ke Pulau Pinang, menjadikan jumlah ke­seluruhan RM3,050.

Katanya, arwah meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari dan rakan serumahnya cuba mendapatkan bantuan surau berhampiran untuk menguruskan jenazah.

“Seorang ahli jawatankuasa (AJK) pengurusan jenazah pada awalnya hadir membantu, tapi berundur selepas waris memaklumkan tidak mampu membayar.

“Waris ketika itu anak arwah yang berada dalam kesempitan hidup. Dia hanya mampu berhubung melalui telefon dan tidak dapat datang ke Shah Alam.

“Apabila tidak mampu membayar, AJK itu hanya meluruskan badan jenazah, menutup dengan kain batik dan beredar,” ujarnya.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih kritikal apabila maklumat lewat diterima sehingga menyebabkan jenazah itu berada dalam keadaan aib.

“Apabila kami sampai, jenazah sudah dihurung semut. Itu yang paling menyedihkan,” katanya.

Ujarnya, wujud kekeliruan dalam prosedur pengurusan jenazah di beberapa kawasan, termasuk keperluan mendapatkan kebenaran masjid dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum urusan pengebumian.

“Ia menyebabkan waris terperangkap antara sistem rasmi dan kos yang perlu ditanggung, sekali gus mengakibatkan kelewatan urusan jenazah.

“Isunya bukan sekadar prosedur, tetapi juga soal belas ihsan. Mustahil tiada peruntukan khas disediakan bagi kes-kes mendesak sebegini,” ujarnya.

Menurutnya, terdapat beberapa kawasan termasuk di Ampang menetapkan garis panduan yang ketat yang mewajibkan kebenaran masjid dan PBT.

Malah katanya, urusan pengebumian hanya boleh dilakukan dengan menggunakan pengurusan masjid dan bukannya NGO.

“Caj tanah yang mahal pula melibatkan tanah perkuburan di bawah seliaan kariah sebab ada penalti kepada mana-mana individu yang tidak mendaftar dalam khairat kematian. Yang murah di tanah perkuburan seliaan PBT.

“Fungsi khairat kematian juga sering disalah faham. Ia hanya meliputi kawasan kariah ter­tentu dan tidak semestinya boleh digunakan orang di luar kawasan atau ne­geri lain.

“Kalau seseorang meninggal di luar kawasan, khairat tidak akan menampung sepenuhnya. Sebab itu NGO memainkan peranan penting,” katanya.

Beliau berkata, terdapat situasi apabila pengurusan kariah enggan bekerjasama dengan NGO atas faktor bayaran walaupun NGO membantu mempercepatkan urusan fardu kifayah itu.

“Kebanyakan kariah tidak mahu bekerjasama kerana soal wang. Kalau mereka urus sendiri, mereka dapat penuh bayaran pengurusan.

“Sepatutnya pihak kariah berterima kasih kerana NGO memudahkan urusan anak kariah mereka, tapi disebabkan wang, ia menjadi pertikaian,” katanya.

Baru-baru ini, Kosmo! mela­porkan seorang lelaki mendakwa pengebumian jenazah anaknya tertangguh hampir sejam selepas berlaku pertikaian berhubung caj pengurusan jenazah sebanyak RM1,400 serta borang permohonan pengebumian.

Kelmarin, Majlis Agama Islam Selangor mengarahkan satu pertemuan segera melibatkan wa­ris, pihak masjid, Badan Kebajikan Salatulrahim serta Jabatan Agama Islam Selangor bagi meredakan kemelut susulan dakwaan kelewatan pengebumian jenazah itu di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN