BESUT – Dua bot yang sarat dengan pelancong telah ditahan Maritim Malaysia (APMM) ketika disyaki beroperasi tanpa lesen sah di perairan Pulau Perhentian, dekat sini pada Jumaat lalu.
Kedua-dua bot penumpang terbabit masing-masing ditahan ditahan oleh bot penguat kuasa APMM, Bot Perkasa 48 pada pukul 10.39 pagi dan 12.04 tengah hari.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, dua bot terbabit masing-masing ditahan pada kedudukan 16.83 kilometer (km) dan 20.19 km dari muara Kuala Besut dekat sini.
“Pemeriksaan mendapati kedua-dua bot penumpang terbabit beroperasi tanpa lesen sah. Nahkoda bot juga tidak memiliki perakuan kekompetenan,” katanya di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Hamiludin berkata, sebuah bot penumpang lain turut ditahan Kapal Maritim (KM) Bagahak di perairan Pulau Bidong, Kuala Nerus dekat sini pada Sabtu lalu.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati bot penumpang itu bukan sahaja bersauh di kawasan Taman Laut malah disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan dan menggunakan peralatan tidak dibenarkan iaitu lampu hijau 1500 watt (w) di bawah permukaan air.
Hamiludin berkata, ketiga-tiga nakhoda bot penumpang terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Perikanan 1985. – KOSMO! ONLINE














