CANBERRA – Seorang penduduk di Australia dikejutkan dengan bunyi bising misteri di luar kediamannya, sebelum mendapati dua ekor kanggaru jantan rancak ‘bertumbuk’ di halaman belakang rumahnya, lapor portal berita JawaPos.
Detik melucukan dan mendebarkan dirakam oleh pemilik rumah itu tular di media sosial sejak Rabu lalu.
Kejadian berlaku di sebuah kejiranan berhampiran dengan kawasan bukit yang menjadi habitat haiwan tersebut.
Video berdurasi hampir dua minit menunjukkan kedua-dua kanggaru melepaskan ‘tumbukan’ menggunakan kaki hadapan serta menendang satu sama lain dengan kaki belakang.
Pertarungan sedemikian merupakan tingkah laku semula jadi kanggaru jantan untuk merebut dominasi, wilayah atau pasangan.
Walaupun kelihatan dramatik bagi kebanyakan orang, pemandangan seperti itu tidak asing di Australia yang menempatkan habitat liar kanggaru. – AGENSI














