KUALA NERUS – Kesukaran untuk mendapat pekerjaan tetap tidak mematahkan semangat seorang bapa muda untuk gigih mencari rezeki buat keluarga kecilnya dengan mengambil upah mengutip dan melupuskan sampah serta sisa domestik secara kecil-kecilan.
Muhamad Firdaus Mohd. Rafi, 29, berkata, perkhidmatan yang hanya mengenakan caj RM15 bagi setiap perjalanan sehala tersebut sejak beberapa bulan lalu mula mendapat tempat dalam kalangan penduduk di daerah ini.
“Pada mulanya, saya agak gelisah kerana tidak berhasil mendapat pekerjaan tetap sehingga kadang-kala langsung tidak mempunyai walau sesen pun pendapatan untuk menyara isteri dan dua anak kecil.
“Sehinggalah pada suatu hari, sewaktu sedang membuang sampah, isteri mencadangkan agar saya agar menawarkan perkhidmatan ini sebagai ikhtiar untuk mencari rezeki,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Telaga Batin di sini semalam.
Muhamad Firdaus berkata, dia kemudiannya memberanikan diri mempromosikan perkhidmatan mengambil upah membuang sampah dan sisa domestik itu menerusi media sosial dengan meminjam kereta Proton Iswara milik ibunya.
“Kereta itu sebenarnya uzur tanpa pendingin hawa malah tingkap pintu kereta juga tidak boleh dibuka tetapi ini sahajalah kenderaan yang ada dan boleh digunakan.
“Pernah sekali tayar kereta tersebut tersangkut pada lubang ketika saya sedang membuat kerja-kerja ini, mujur ada yang membantu untuk menolak keluar. Tak mampu saya upah trak penunda kerana dalam poket masa itu cuma ada RM40,” katanya.
Muhamad Firdaus berkata, biarpun berdepan pelbagai dugaan, dia bersyukur apabila ramai pelanggan menghargai usahanya malah tidak kurang yang bermurah hati membayar lebih daripada caj RM15 ditetapkan.
“Ia telah membakar semangat saya. Harapan saya mampu membeli kenderaan lebih sesuai untuk terus membesarkan perniagaan ini. Saya juga mengambil upah memotong rumput sebagai usaha menambah pendapatan untuk keluarga,” katanya yang mempunyai dua anak.
















