SHAH ALAM – Penantian hampir sedekad pasukan ragbi Johor untuk kembali bergelar juara Piala Agong akhirnya berakhir dengan kemanisan apabila menundukkan Terengganu 34-26 pada aksi final edisi ke-42 di Stadium UiTM, hari ini.
Kejayaan itu cukup manis buat pasukan Johor selepas sebelum ini skuad kendalian bekas pemain New Zealand, Rodney So’oialo itu tewas dalam dua final berturut-turut pada edisi 2024 dan 2025 sebelum akhirnya menebus kekecewaan dengan merampas semula trofi berprestij ragbi tanah air itu.
Pada perlawanan tersebut, Terengganu bermula garang apabila mendahului 19-0 tiga try dan dua conversion dalam tempoh 18 minit pertama, namun Johor berjaya bangkit untuk merapatkan kedudukan 17-19 ketika tamat babak pertama.
Momentum permainan berubah sepenuhnya pada separuh masa kedua apabila Johor mula mengatur serangan lebih ampuh apabila berjaya mematahkan kebangkitan Terengganu dengan melakukan dua try dan dua conversion untuk berada dihadapan 31-19.
Terengganu cuba merapatkan jurang menerusi try pada penghujung permainan, namun usaha itu sudah terlambat apabila Johor mempertahankan kelebihan selain memperoleh mata menerusi penalti sekali gus menutup kemenangan dengan keputusan 34-26.
Kejayaan tersebut turut menyaksikan Johor muncul juara buat kali ketiga dalam sejarah selepas pernah menjuarai saingan itu pada 2013 dan 2017 sebelum mengakhiri kemarau selama sembilan tahun.
Sementara itu, Kelantan meraih tempat ketiga selepas menewaskan juara bertahan, PDRM 43-41 dalam satu lagi aksi dramatik yang berlangsung lebih awal di venue sama.
Kelantan yang mendahului 24-22 pada separuh masa pertama berjaya menyerap kebangkitan PDRM pada babak kedua sebelum mempertahankan kelebihan dua mata sehingga tamat perlawanan untuk menamatkan kempen di podium.
Kekalahan itu sekali gus menyaksikan PDRM gagal mempertahankan gelaran dimenangi tiga tahun berturut-turut sejak 2023, manakala Kelantan menutup kempen Piala Agong edisi ke-42 dengan bergaya menerusi kemenangan dalam penentuan tempat ketiga. -KOSMO! ONLINE














