AMPANG JAYA – Waris kepada lelaki yang sebelum ini dikaitkan dengan pertikaian pengurusan jenazah tampil membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan yang disifatkan mencemarkan dirinya dan keluarga.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya selepas susulan kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam berhubung perkara tersebut.
Dalam laporan tersebut, lelaki itu mendakwa kenyataan yang mendakwa ‘datuk si mati berkeras jenazah diuruskan oleh Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS)’ adalah bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap dirinya.
“Saya menegaskan saya tidak pernah berurusan dengan pihak Masjid Nurul Hidayah dan semasa kejadian saya berada bersama jenazah cucu perempuan.
“Tujuan saya membuat laporan ini adalah untuk menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku terhadap diri saya dan keluarga ketika menguruskan jenazah cucu saya dan menafikan segala dakwaan fitnah melalui audio, penjelasan siak dan kenyataan media JAIS,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, laporan itu juga akan dirujuk bagi tujuan siasatan dan tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang telah memfitnah diri dan keluarganya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.
“Laporan polis telah dibuat dan disahkan. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang lelaki mendakwa jenazah anaknya terbiar hampir sejam di tanah perkuburan Islam selepas berlaku pertikaian berhubung caj pengurusan jenazah sebanyak RM1,400 yang didakwa dikenakan oleh sebuah badan khidmat pengurusan jenazah.
Sehubungan itu, siak sebuah masjid tampil memberikan penjelasan dengan mendakwa berlaku salah faham dalam urusan tersebut. Katanya, pengurusan jenazah yang sepatutnya dilakukan oleh pihak masjid diambil alih oleh BKS pada saat-saat akhir.
Dalam pada itu, JAIS turut menafikan masjid tersebut menuntut bayaran sebanyak RM1,400 daripada waris bagi pengurusan jenazah berkenaan.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, waris pada peringkat awal berurusan dengan BKS yang tiada kaitan dengan pihak masjid dan bapa arwah hanya menemui pembantu pengurus masjid bagi mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan bersetuju pihak masjid mengambil alih.
“Pihak masjid mengeluarkan borang itu selepas menerima daftar kematian asal dan dimaklumkan bahawa datuk si mati berkeras mahu jenazah diuruskan BKS,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














