Bahagian hadapannya menerima gril baharu yang lebih lebar dengan corak yang lebih kemas dan bampar direka semula lebih agresif.

HR-V Turbo V pakej paling seimbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) keluarga yang semakin kompetitif, Honda HR-V terus mengekalkan popularitinya sebagai antara pilihan utama rakyat Malaysia.

Honda HR-V berjaya mencipta identiti sendiri bukan sekadar sebuah SUV kompak tetapi menjadi simbol gaya hidup moden yang menggabungkan keselesaan, praktikaliti dan prestasi dalam satu pakej lengkap.

Dengan reputasi Honda yang terkenal dari segi ketahanan dan kebolehpercayaan, HR-V bukan sekadar kenderaan harian, sebaliknya teman perjalanan keluarga yang memberikan keyakinan dan ketenangan kepada pemandu dan penumpang.

Tidak hairanlah model ini terus mendapat permintaan tinggi dan kekal sebagai salah satu SUV keluarga paling diminati di Malaysia.

Sejarah Honda HR-V bermula pada tahun 1999 apabila Honda memperkenalkan model ini sebagai SUV kompak yang menawarkan gabungan ciri sebuah hatchback dan SUV.

Dari generasi ke generasi, HR-V terus berkembang dengan reka bentuk yang lebih moden, teknologi yang lebih canggih serta ciri keselamatan yang semakin lengkap.

Di Malaysia, Honda HR-V mula mendapat perhatian besar sejak pelancaran generasi keduanya pada tahun 2015.

Popularitinya semakin meningkat apabila generasi ketiga diperkenalkan dengan pilihan enjin yang lebih efisien serta teknologi ‘Honda Sensing’ yang memberikan tahap keselamatan lebih tinggi.

Memasuki tahun 2025, Honda Malaysia memperkenalkan HR-V facelift yang tampil dengan beberapa penambahbaikan menarik.

Selain rekaan luaran yang lebih segar dan premium, model ini turut menerima peningkatan dari segi teknologi, keselesaan serta ciri keselamatan yang lebih moden.

Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang untuk memandu uji HR-V facelift 2025 varian 1.5L VTEC Turbo (V) selama beberapa hari bagi merasai pengalaman mengendalikan SUV segmen B bukan nasional paling popular di Malaysia.

Empat varian ditawarkan untuk model facelift ini iaitu 1.5L VTEC (S) pada harga RM115,900, 1.5L VTEC Turbo (E) RM130,900, 1.5L VTEC Turbo (V) RM137,900 dan 1.5L e:HEV RS RM143,900 atas jalan raya tanpa insurans.

Sebaik memandu HR-V Turbo V, penulis dapat merasakan karakter pemanduan jentera ini yang cukup seimbang.

Tekanan pedal minyak yang sedikit sahaja sudah cukup untuk menggerakkan SUV ini dengan pantas. Kuasa turbo hadir dengan lancar dan responsif terutama ketika memotong kenderaan di lebuh raya.

Dari segi prestasi, HR-V turbo dikuasakan oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang menghasilkan kuasa 181PS dan tork maksimum 240Nm digandingkan dengan transmisi CVT bagi memacu roda hadapan.

Varian Turbo memberikan kuasa yang cukup untuk memotong dengan yakin di lebuh raya, walaupun CVT ada sedikit lengah sebelum benar-benar memberi respons penuh.

Aspek kendalian pula dibantu suspensi jenis MacPherson strut di depan dan torsion beam di belakang, tidak terlalu lembut hingga terasa melambung dan tidak terlalu keras.

Dari aspek pengendalian, HR-V Turbo facelift 2025 berjaya menawarkan keseimbangan antara keselesaan dan kawalan.

Sistem suspensi menyerap kebanyakan ketidaksempurnaan permukaan jalan dengan baik, namun masih mampu memberikan keyakinan ketika mengambil selekoh pada kelajuan sederhana hingga tinggi.

Sterengnya pula menggunakan sistem Variable Gear Ratio (VGR) untuk varian tertentu, menjadikan putaran stereng lebih mudah dikendalikan ketika parkir dan lebih stabil di kelajuan tinggi.

Dari aspek keselamatan, SUV keluarga ini dilengkapi pakej Honda Sensing termasuk ciri Adaptive Cruise Control, Lane Keeping Assist, Forward Collision Warning serta Automatic Emergency Braking.

Dari sudut praktikaliti, HR-V masih mengekalkan kekuatan asal dengan ruang kargo yang luas serta tempat duduk belakang dengan konfigurasi ‘Ultra Seats’ membolehkan pemilik membawa barang besar dengan mudah.

Walaupun Honda tidak melakukan perubahan besar pada versi facelift ini, tetapi cukup untuk menjadikan SUV ini kelihatan lebih segar dan premium.

HR-V Turbo versi facelift 2025 ini tampil dengan rim aloi 18 inci dwitona tampak lebih premium berbanding rekaan dahulu, manakala di bahagian kabin, konsol tengah diperkemas dengan skrin infotainment terapung.

Biarpun Honda tidak melakukan perubahan besar-besaran pada HR-V facelift 2025, sentuhan yang diberikan cukup untuk menjadikan SUV ini kelihatan lebih segar dan premium.

Bahagian hadapan menerima gril baharu yang lebih lebar dengan corak lebih kemas serta bampar yang direka semula bagi memberikan imej lebih moden dan agresif.

Pada varian Turbo V, elemen ‘heartbeat’ pada gril hadapan masih dikekalkan sekali gus mengekalkan identiti sporty yang menjadi tarikan utama model ini.

Di bahagian sisi, HR-V Turbo V tampil lebih eksklusif dengan rim aloi 18 inci dwitona yang memberikan penampilan lebih premium berbanding model terdahulu.

Bahagian belakang pula menerima rekaan lampu LED yang lebih kemas dan moden, menjadikan HR-V kelihatan lebih lebar serta lebih mewah terutama ketika dipandang pada waktu malam.

Meninjau ke ruangan kabin, Honda memperkemas rekaan konsol tengah dengan susun atur yang lebih praktikal manakala skrin infotainment kini menggunakan reka bentuk terapung dan menyokong Apple CarPlay serta Android Auto tanpa wayar.

Ruang simpanan tambahan di bawah panel penghawa dingin turut meningkatkan aspek praktikaliti yang sememangnya menjadi kekuatan HR-V sejak dahulu lagi.

Pada pandangan penulis, varian HR-V Turbo V adalah varian petrol paling lengkap dalam keluarga HR-V selain dilengkapi kerusi pemandu larasan kuasa, sistem audio lapan pembesar suara, pintu tailgate serta beberapa kemasan premium yang meningkatkan pengalaman pemilikan.

Jika dibandingkan dengan varian S dan Turbo E, Turbo V menawarkan pakej yang paling seimbang.

Ia memiliki prestasi enjin turbo yang sama tetapi hadir dengan lebih banyak ciri premium yang benar-benar meningkatkan pengalaman pemilikan.

Kesimpulannya, Honda HR-V Turbo Facelift 2025 membuktikan bahawa sebuah SUV keluarga tidak semestinya membosankan.

Ia menawarkan reka bentuk moden, ruang dalaman yang praktikal, teknologi terkini, tahap keselamatan yang tinggi dan prestasi enjin turbo yang cukup mengujakan.

Bagi mereka yang sedang mencari SUV yang mampu memenuhi keperluan harian, perjalanan jauh, gaya hidup aktif dan pada masa yang sama memberikan nilai pemilikan yang tinggi, Honda HR-V Turbo Facelift 2025 adalah antara pilihan terbaik yang wajar dipertimbangkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN