fbpx
Gambar penemuan bom lama yang ditemui kira-kira 150 meter dari landasan Lapangan Terbang Labuan. Foto MEDIA SOSIAL.

Lapangan Terbang Labuan ditutup sementara susulan penemuan bom lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Landasan Lapangan Terbang Labuan ditutup sementara selepas penemuan sebutir bom lama kira-kira 150 meter dari landasan, sekali gus menyebabkan beberapa penerbangan terpaksa dilencongkan, ditangguhkan dan mengalami perubahan operasi.

Menurut Notis kepada Juruterbang (NOTAM) yang dimuat naik menerusi Facebook Malaysia Airports petang semalam, penutupan sementara itu dibuat bagi membolehkan pemeriksaan bersama landasan dijalankan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pihak berkuasa lapangan terbang.

Katanya, landasan hanya akan dibuka semula selepas pemeriksaan selesai dan pelepasan operasi dikeluarkan.

“Susulan penutupan sementara ini, penerbangan yang tiba dan berlepas dari Lapangan Terbang Labuan terjejas, dengan beberapa penerbangan terpaksa dilencongkan, ditangguhkan atau mengalami perubahan operasi.

“Penumpang yang dijadualkan melakukan perjalanan ke dan dari Labuan dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan terkini serta aturan perjalanan dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum menuju ke lapangan terbang,” menurut kenyataan itu.

Malaysia Airports turut memaklumkan bahawa perkembangan lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa selepas pemeriksaan selesai dan pelepasan operasi dikeluarkan oleh pihak berkaitan.

Sementara itu, AirBorneo dalam kenyataan semalam memaklumkan beberapa penerbangannya ke dan dari Labuan dibatalkan susulan penutupan sementara lapangan terbang berkenaan.

Syarikat penerbangan itu berkata, pihaknya kesal dengan gangguan terhadap perancangan perjalanan penumpang dan akan menyalurkan perkembangan terkini sebaik maklumat baharu diterima.

Antara penerbangan yang dibatalkan ialah MY3222, MY3046, MY3047, MY3227, MY3225, MY3224, MY3223 dan MY3048.

Terdahulu, tular di media sosial satu pemakluman mendakwa penutupan sementara landasan itu berpunca daripada penemuan bom lama di kawasan luar pagar TUDM di Kerupang, kira-kira 150 meter dari landasan.

Menurut maklumat yang tular itu, penemuan tersebut dilaporkan pada pukul 2.40 petang semalam sebelum arahan penutupan landasan dikeluarkan oleh Kawalan Trafik Udara (ATC) Labuan.

Difahamkan, semua pendaratan pesawat tidak dibenarkan sehingga kerja-kerja pemusnahan bom selesai dijalankan, dengan lima penerbangan dilaporkan terjejas membabitkan sebuah pesawat Malaysia Airlines, sebuah AirAsia dan tiga pesawat AirBorneo.

Unit Pemusnahan Bom dilaporkan sedang menjalankan kerja-kerja memusnahkan bahan letupan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN