fbpx
Gambar hiasan

Individu menyamar guru perdaya ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUMUT – Seorang individu dikesan menggunakan identiti seorang guru sekolah bagi tujuan memperdaya ibu bapa murid dengan dua laporan polis telah diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, dua laporan polis yang diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Manjung berkenaan dipercayai melibatkan modus operandi yang sama dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Siasatan awal mendapati suspek telah menggunakan nama, gambar dan nombor telefon guru melalui aplikasi WhatsApp sebelum menghantar mesej kepada ibu bapa murid kononnya bagi tujuan kutipan bayaran program akademik sekolah.

“Suspek turut menghantar kod QR pembayaran yang telah diubah suai menggunakan nama sekolah bagi meyakinkan mangsa supaya membuat pembayaran ke akaun milik suspek,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, polis percaya modus operandi ini bertujuan memperdaya ibu bapa dengan mengeksploitasi kepercayaan terhadap pihak sekolah.

Justeru, Hasbullah menasikan orang ramai supaya membuat pengesahan dengan pihak sekolah menggunakan nombor telefon rasmi sebelum membuat sebarang pembayaran.

“Jangan mempercayai arahan pembayaran yang diterima melalui WhatsApp semata-mata dan memastikan kod QR atau akaun bank yang digunakan adalah akaun rasmi sekolah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN