PETALING JAYA – Pelakon Zara Zya mendedahkan dilabel perempuan sundal gara-gara melakonkan watak Dhia dalam drama Luka Di Hujung Setia.
Zara atau nama penuhnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40, bagaimanapun tidak terkesan dengan gelaran itu memandangkan pujian yang diterima melebihi kecaman.
“Kecaman tidaklah teruk sangat tetapi ada juga terbaca komen mereka panggil saya perempuan sundal sebab emosi dengan jalan cerita.
“Setakat ini syukur saya masih bernasib baik ramai sayang, mungkin juga sebab sudah lama berada dalam industri.
Syukur selamat daripada sebarang kecaman berbaur peribadi dan komen teruk sehingga buat saya ‘down’. Alhamdulillah rasa-rasanya ini penyondol pertama yang orang suka,” katanya kepada HibGlam hari ini.
Dalam pada itu, dia terharu dan gembira apabila ada netizen berkongsi pengalaman melalui kehidupan seperti Dhia.
“Untuk watak Dhia, memang ramai mesej dalam media sosial mereka teringat kisah hidup sendiri.
Ada yang puji cakap saya merealisasikan watak ini dengan baik dan membuka mata orang ramai bahawa Dhia memang wujud di luar sana. Memang gembira dapat maklum balas begitu.
“Tapi sejujurnya untuk menjayakan watak Dhia yang merupakan wanita penyondol dan isteri curang agak sukar sebab saya berhijab,” katanya lagi.
Sejak Luka Di Hujung Setia ditayangkan, nama Zara menjadi bahan bualan ramai kerana lakonan hebatnya sebagai isteri yang mengkhianati suaminya, Irsyad lakonan Datuk Adi Putra.
Selain Zara dan Adi, drama itu turut dibintangi Irfan Zaini, Aqma Hamdan dan Cahaya Nilam. – KOSMO! ONLINE














