fbpx
Gambar hiasan.

‘Bapa aku lebih percaya scammer daripada anak-anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang wanita kecewa apabila bapanya tidak serik dan masih menyerahkan wang kepada scammer sejak 2014 hingga kini, hingga menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit.

Wanita itu menerusi hantaran Thread Farizwanibaharudin berkata, mereka sekeluarga telah memberi nasihat dan merayu supaya warga emas itu menghentikan perbuatan itu, namun tidak dipeduli.

“Bapa aku kena scam sejak 2014. Sampai hari ni masih aktif pindahkan duit ke akaun sama sebab masih yakin semua janji tu akan jadi kenyataan.

“Masalahnya sekarang, yang anak-anak ni dah penat nasihat dah penat merayu. Kakak aku siap pergi balai polis untuk buat laporan, tapi tak boleh buat laporan sebab tuan badan sendiri tak nak.

“Tengok duit dia habis sedikit demi sedikit, tapi kami cuma mampu tengok dari jauh. Pernah nasihat, tapi dia mengamuk dan tak bagi anak balik rumah bagai,” katanya.

Farizwani berkata, bapanya memerlukan tongkat untuk berjalan, tetapi sanggup memandu jauh dari Bota ke Ayer Tawar, Perak untuk ke bank hampir setiap hari kerana mahu memasukkan wang ke akaun scammer berkenaan.

“Ada yang boleh bantu tak? Macam mana nak trace (kesan) scammer ni. Bapa aku dah habis bukan RM10,000 ke RM20,000, dah beratus ribu dah dia habis transfer dekat scammer ni.

“Masalahnya, dia masih percaya dengan janji-janji scammer ni. Bayangkan sehari bank in (masuk) sekitar RM100 hingga RM200. Ada sehari RM500, ada RM1,000. Kalau dah setiap hari dia bank in, jumlah semua dari tahun 2014 higga 2026 dah berapa ratus ribu,” katanya.

Hantaran berkenaan mendapat pelbagai maklum balas termasuk daripada mereka yang berdepan masalah sama seperti wanita tersebut.

“Kenapa bapa saya pun macam ni. Pelik, dia senang percaya. Hari tu dia kata Elon Musk nak bagi dia kereta. Siapa ayah saya ni sampai Elon Musk nak bagi dia kereta. Dia pernah kena scam lain juga, tapi kami biar saja sebab dia tak ada duit pun. Pernah dia nak pinjam mak saya, kami adik-beradik tak bagi. Akhirnya duit semua tu habis dia transfer ke scammer,” kata @Cathyjahh.

“Sama kes dengan mak aku. Baru ni dapat pencen, tak sampai tiga hari, semua duit pencen habis. Bulan lepas aku tengok, dia pergi pinjam lagi duit kat mak cik sampai RM5,000. Semua duit tu dia pergi bagi scammer. Dah nasihat, bawa balai polis, tak guna sebab dia percaya orang tu,” komen @Izatizizi.

“Abah saya sampai dah masuk tidur lokap, bayar denda mahkamah, tapi masih tak serik. Dia sendiri rela kena scam. Saya sangat kecewa dengan tindakan dia. Scammer guna maklumat abah untuk scam orang lain. Bila mangsa buat laporan, abah saya la kena masuk lokap. Kira abah saya ni jadi keldai akaun. Masalahnya, dah tau kena scam pun dia masih nak jadi keldai akaun,” kata @Norzatulbardah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN